
Setakat ini, dua individu ditahan dengan lima premis di sekitar Lembah Klang digeledah pada Rabu dan Khamis lalu.
Sumber memaklumkan siasatan awal mendapati antara tahun 2021 hingga 2024, sejumlah hampir RM300 juta telah berjaya dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur untuk pelaburan ke atas dua buah syarikat.
Namun semakan menunjukkan dana dikutip telah diseleweng dan dibelanjakan untuk tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan pelabur.
“Siasatan turut mendapati Tan Sri berkenaan menggunakan kedudukan serta pengaruh beliau untuk menarik minat dan meyakinkan pelabur agar melabur,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mengesahkannya berkata dua kertas siasatan dibuka dan pihaknya sedang menjejak aliran dana diseleweng bagi tujuan pemulihan.
“Kita percaya dalam masa terdekat ini, akan ada banyak lagi akaun bank dibekukan,” katanya.
SPRM dilaporkan mula menyiasat seorang pakar pelaburan terkenal bergelar Tan Sri selepas mendapat maklumat berlaku penyelewengan sekitar RM10 juta.
Tetapi, siasatan mendapati penyelewengan itu mungkin mencecah ratusan juta ringgit.
Khamis lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM mereman seorang lelaki berusia 60-an yang bergelar Tan Sri selama empat hari hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.