
Dalam afidavit sokongan untuk membatalkan saman “pendakwaan berniat jahat” oleh Najib itu, Thomas berkata, ia “digunakan dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.”
Thomas berkata, Najib tidak pernah membangkitkan dalam pembelaannya berhubung dakwaan “pendakwaan berniat jahat” dalam kes SRC International dan kes 1MDB yang masih berjalan.
“Empat kes jenayah yang lain terhadap Najib masih belum selesai di Mahkamah Tinggi dan Najib kekal sebagai tertuduh,” katanya.
Bulan lalu, Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan kerajaan kerana mendakwa tuduhan terhadapnya berhubung 1MDB “telah lama dirancang”.
Beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM1.94 juta.
Najib mendakwa, Thomas yang menjadi Peguam Negara bermula 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020 telah melaksanakan tugasnya “mengikut apa yang dirancang” oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Thomas dilantik selepas PH memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan membentuk kerajaan yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.
Kerajaan – yang dinamakan sebagai defendan bersama – dan Thomas berusaha untuk membatalkan saman Najib atas alasan ia adalah perkara remeh, menyusahkan dan menyalahguna proses mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib turut mendakwa Thomas berprasangka terhadap kesnya sebelum membuat keputusan untuk mendakwanya selain campur tangan dalam siasatan.
Thomas berhujah bahawa beliau tidak mempunyai sebarang tanggungjawab terhadap Najib untuk “tidak bercakap mengenai kesnya”.
“Saya menafikan membuat sebarang kenyataan subjudis mengenai perbicaraan kes Najib yang masih berjalan. Kenyataan yang saya buat sebelum beliau dihadapkan atas tuduhan itu juga tidak boleh dikira subjudis.
“Beliau melakukan serangan secara pramatang dan kolateral terhadap keputusan yang akan ditentukan oleh hakim yang bersidang dalam empat kes jenayah yang masih ada. Mereka belum pun menentukan sama ada beliau bersalah.
“Oleh itu, kesan daripada tindakan tidak timbul dan beliau tidak mengalami sebarang kerugian. Dakwaannya juga kurang jelas dan tanpa butiran terperinci,” tambahnya.
Thomas turut mempertikaikan bahawa Najib tidak menyatakan dalam saman itu bahawa empat kes terbabit telah “terjejas” akibat kenyataan dikeluarkannya.
“Perbicaraan Najib didengar oleh hakim profesional dan berkebolehan yang akan menentukan kes itu sendiri,” katanya.
“Sebarang relief tersedia kepada Najib atas kenyataan seumpama itu akan menjadi perintah larangan atau menghina prosiding, bukan tuntutan sivil bagi ganti rugi.
“Tiada prosiding sedemikian pernah dibawa oleh Najib terhadap saya pada masa itu.”
Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Jan 2022 sebagai tarikh sebutan kes berikutnya.