Gagal rayuan edar 1.3kg ganja, mahkamah Singapura kekalkan hukuman mati rakyat Malaysia

Gagal rayuan edar 1.3kg ganja, mahkamah Singapura kekalkan hukuman mati rakyat Malaysia

Seorang lagi rakyat Malaysia bagaimanapun akan menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan kerana kesalahan memiliki dadah bagi tujuan pengedaran.

Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan hukuman mati terhadap warga Malaysia, M Kamalnathan Muniandy dan seorang rakyat tempatan S Chandroo, manakala seorang lagi lelaki Malaysia Pravinash Chandran akan menjalani hukuman penjara seumur hidup. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menolak rayuan tiga lelaki termasuk dua rakyat Malaysia atas sabitan dan hukuman berkaitan tuduhan mengedar ganja seberat 1.3kg.

Berikutan keputusan itu, warga Malaysia Kamalnathan Muniandy, 27, dan warga Singapura Chandroo Subramaniam, 52, dihukum mati kerana bersubahat mengedarkan dadah terkawal Kelas A tersebut.

Bagaimanapun, seorang lagi rakyat Malaysia, Pravinash Chandran, 26, akan menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan kerana kesalahan memiliki dadah bagi tujuan pengedaran, menurut laporan Berita Mediacorp.

Pravinash didapati memainkan peranan sebagai penghantar dadah semata-mata, dan pihak pendakwa mengesahkan bahawa dia banyak membantu Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam menggagalkan kegiatan pengedaran dadah di dalam dan luar Singapura.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya mendapati hakim perbicaraan tidak membuat kesilapan dalam menerima rentetan peristiwa yang diberi Pravinash, atau menolak kenyataan Kamalnathan dan Chandroo.

Bukti menunjukkan bahawa Kamalnathan dan Pravinash pernah menghantar dadah kepada pelanggan di Singapura sebelum itu.

Pravinash mengaku telah menghantarkan dadah kepada orang tidak dikenali di Singapura pada 1, 2 dan 4 Mac 2016, dan ini disahkan oleh rekod Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang menunjukkan kemasukan mereka ke Singapura.

Rekod telefon dan tol Kamalnathan menunjukkan dia terus berhubungan dengan seorang “bos” dikenali sebagai Suren selepas memasuki Singapura pada hari tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.