
Amirul Iqbal Nazri ditahan pada 15 Nov di pusat pemeriksaan Woodlands oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) ketika pemeriksaan rutin ke atas kenderaan berdaftar Malaysia.
Vape berkenaan ditemui di belakang tempat duduk penumpang hadapan dan di but kereta, lapor The Straits Times.
Amirul mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan mengimport produk tembakau tiruan.
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Amirul sebelum itu berjaya menyeludup barangan itu buat kali pertama pada 6 Nov lalu dan memperoleh SGD320 (kira-kira RM1,000), sebelum cubaan kedua membawa kepada penahanannya.
Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara 14 hingga 16 minggu, dengan menegaskan keperluan pencegahan memandangkan kes itu merupakan sebahagian daripada sindiket yang lebih besar.
Sementara itu, pada 7 Jan, seorang lagi lelaki Malaysia, Choo Yi Long, 25, dihukum penjara 14 minggu dan didenda SGD3,000 (RM9,400) selepas mengaku bersalah mengimport produk tembakau tiruan dan menyeludup rokok tidak bercukai ke Singapura.
Beliau ditahan di pusat pemeriksaan Woodlands pada 24 Ogos tahun lalu dengan 200 kotak rokok dan 10 vape pakai buang.
Choo, yang berulang-alik setiap hari antara Johor Bahru dan Singapura untuk bekerja, mula menjual rokok Malaysia dan vape kepada rakan-rakan bagi menambah pendapatan.
Beliau membeli rokok dari kedai berhampiran pusat pemeriksaan Malaysia dan menjualnya dengan keuntungan SGD2 bagi setiap kotak, manakala vape pakai buang yang diperoleh daripada pembekal di Johor Bahru dijual di Singapura pada harga sekitar SGD9.50 setiap satu.
Di bawah undang-undang Singapura, pesalah yang mengimport produk tembakau tiruan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda SGD10,000, atau kedua-duanya.
Penyeludupan rokok tidak bercukai pula membawa hukuman minimum denda 15 kali ganda cukai kastam yang dielakkan, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.