
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata sebelum ini timbul isu kelayakan STR ‘dibatalkan’ untuk warganegara yang kerap keluar masuk Singapura.
Beliau berkata, ia sebenarnya tidak dibatalkan tetapi berstatus ‘Tidak Lulus’ (di bawah Kod Alasan 31), iaitu pemohon atau pasangan menetap, bekerja atau mengikuti pengajian di luar negara.
“Ini bermakna warga Malaysia yang keluar dan masuk Singapura lapan kali dan lebih setiap bulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara dengan andaian individu itu berulang-alik setiap minggu,” katanya di Facebook.
Mengulas lanjut, LHDN menilai kekerapan pergerakan keluar masuk negara menggunakan beberapa pendekatan bagi membezakan urusan sementara dengan keadaan menetap atau bekerja di luar negara.
Katanya, pergerakan satu hingga tujuh kali sebulan masih dianggap munasabah dan biasanya membabitkan urusan sementara.
“Urusan sementara itu seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau urusan keluarga.
“Namun, lapan kali dan ke atas sebulan ditafsirkan sebagai tempoh signifikan berada di luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan STR adalah bantuan tunai bersasar kerajaan di bawah semangat ‘kita jaga kita’ yang dikhususkan untuk rakyat Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan bantuan itu diagihkan secara adil kerana ia membabitkan wang rakyat dan pembayar cukai.
“Bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima STR, semakan dibuat menggunakan data daripada pelbagai agensi kerajaan, termasuk Jabatan Imigresen, bagi mengesahkan maklumat pemohon,” katanya.
Berikutan itu, kita menggalakkan individu yang terkesan dengan pelaksanaan dasar berkenaan supaya mengemukakan rayuan, yang dibuka sepanjang tahun ini.
“Kita sentiasa prihatin terhadap maklum balas rakyat dan terbuka untuk mempertimbangkan rayuan.
“Sebagai contoh, terdapat warga Malaysia yang perlu kerap keluar masuk Singapura kerana bekerja sebagai pemandu syarikat logistik tempatan,” katanya.