Rosmah dapat sementara pasport lawat anak di Singapura

Rosmah dapat sementara pasport lawat anak di Singapura

Mahkamah Rayuan benar permohonan Rosmah Mansor itu selepas pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

rosmah mansor
Rosmah Mansor memohon pelepasan pasport oleh Mahkamah Rayuan bagi membolehkan beliau ke Singapura pada 1 Feb hingga 30 April ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah Mansor untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara hingga 30 April bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya di Singapura.

Peguam Rosmah, Jagjit Singh mengemukakan permohonan menerusi prosiding dalam talian di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Azmi Ariffin, Noorin Badaruddin dan Meor Hashimi Abdul Hamid.

Azmi yang mempengerusikan panel itu membenarkan permohonan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya K Mangai yang mewakili pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Terdahulu, Jagjit dengan dibantu Akberdin Abdul Kader, memaklumkan kepada mahkamah bahawa isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu memohon pelepasan pasport oleh mahkamah bagi membolehkan beliau ke Singapura pada 1 Feb hingga 30 April ini.

Beliau berkata Rosmah akan pulang ke Kuala Lumpur dan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah pada 20 Feb ini.

Jagjit Singh berkata Rosmah akan kekal berada di Kuala Lumpur sehingga rayuannya di Mahkamah Persekutuan selesai, berhubung permohonan supaya seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar kesnya.

Beliau berkata pasport berkenaan kemudian akan dipulangkan semula kepada Rosmah pada 26 Feb untuk membolehkan Rosmah ke Singapura dan kekal di sana hingga 30 April.

Sebelum ini, Rosmah pernah mengemukakan permohonan sama untuk melawat anak perempuannya.

Jagjit berkata Rosmah akan berada di Kuala Lumpur bagi prosiding rayuannya berhubung permohonan supaya hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Zaini Mazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid di Sarawak.

Rosmah memfailkan permohonan itu pada saat akhir sebelum Zaini dijadual menyampaikan keputusan pada 1 Sept 2022.

Dalam permohonannya, Rosmah mendakwa draf penghakiman dalam kesnya itu, yang didakwa disediakan oleh pihak ketiga, telah dibocorkan sebelum keputusan itu disampaikan.

Pada hari sama, Zaini mensabitkan Rosmah, 74, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta, dan sekiranya gagal membayar denda itu, hukuman penjara 30 tahun akan dikenakan.

Beliau kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah bagaimanapun diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan rayuan.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha dan Ng Siew Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.