Cabul anak tiri ketika isteri tiada di rumah

Cabul anak tiri ketika isteri tiada di rumah

Polis tahan lelaki selepas bapa kandung mangsa membuat laporan polis.

Kejadian berlaku ketika mangsa baru pulang dari taska dan tinggal bersama bapa tirinya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul anak tiri perempuannya berusia enam tahun, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata, suspek berusia 30-an ditahan kira-kira jam 8 malam di sebuah rumah di Taman Seri Andalas di sini susulan laporan dibuat oleh bapa kandung kanak-kanak itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa dijaga bergilir-gilir selepas ibu bapa kandungnya berpisah dan difahamkan, ibu mangsa baru sahaja berkahwin dengan suspek Januari lalu.

“Kejadian dipercayai berlaku pada waktu tengah hari selepas mangsa pulang dari taska dan tinggal bersama bapa tirinya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Jelasnya lagi, bapa tirinya kemudian mengambil kesempatan menyentuh kemaluannya ketika mereka berada dalam bilik.

“Susulan itu, bapa kandung mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menyiasat jika suspek melakukan perkara sama terhadap mangsa sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.