
Ketua Polis Daerah Labuan, Ahmad Jawila berkata, mangsa berusia 49 tahun yang juga pengurus sebuah syarikat itu menerima panggilan daripada individu terbabit pada 1.57 tengah hari di pejabatnya di Patau-Patau, dekat sini.
Katanya, individu terbabit yang menyamar pegawai bank mendakwa mangsa mempunyai kad kredit atas namanya yang melakukan tiga transaksi berjumlah RM15,991.
“Mangsa kemudian menafikannya dan menyatakan tidak memiliki kad kredit di bank berkenaan.
“Mangsa diarah membuat pengesahan bagi mengemas kini akaun bank dan terus memberikan maklumat peribadinya,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad berkata, panggilan itu kemudian disambung kepada individu lain menyamar pegawai Bank Negara.
“Seterusnya, mangsa bercakap dengan seorang lagi lelaki yang kononnya mengaku sebagai pegawai polis berpangkat inspektor dari Bukit Aman mengaku mengendalikan kesnya.
“Mangsa curiga dan menghubungi bank untuk bertanyakan akaun miliknya. Pihak bank mengesahkan wang mangsa berjumlah RM50,000 telah dipindahkan.”
Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.