
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sayap itu tidak pernah menutup pintu kerjasama dengan parti lain termasuk di luar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Soal kerjasama dengan parti lain sudah pasti ia menjadi tanda tanya dan tumpuan. Saya melihat perkembangan yang berlaku di pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan kita akan menghadapi PRN Sarawak. Kerjasama PAS dengan parti lain dalam PN semakin hari semakin erat dan ia harus diteruskan di peringkat Pemuda.
“Saya sebagai Ketua Pemuda PAS akan meletakkan sesi libat urus sebagai agenda utama Pemuda kali ini, dan selepas PRN Melaka ini, kita akan melakukan sesi libat urus serta kerjasama dengan parti dalam gabungan PN atau di luar PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis mengumumkan barisan Exco Pemuda PAS baharu bagi sesi 2021-2023, yang disifatkan sebagai “kabinet perang” dalam menghadapi PRU serta menarik pengundi muda.
PAS membentuk kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) termasuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.
Bagaimanapun, di PRN Melaka, PAS memilih bersama PN dengan menggunakan logo gabungan itu dan bertembung dengan Umno di beberapa kerusi.