
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata beliau sendiri membuat laporan itu sebagai peringatan kepada ahli dan pemimpin PAS supaya tidak “menunggang agama” bagi tujuan politik.
“Saya dan peguam saya akan tengok ucapan (pemimpin muda) PAS itu kata kalau undi BN dan PH masuk neraka, dalam beberapa hari lagi saya akan buat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap PAS…sebab kita tak boleh biarkan orang macam ini.
“Dia ingat dia hasut orang, ugut orang guna agama untuk menakut-nakutkan orang Melayu, dia ingat dia akan terlepas dari undang-undang,” katanya ketika berucap di Ceramah Mega “Ayuh Malaysia” di Bukit Gambir, Ledang, malam tadi.
Semalam, Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir tampil memohon maaf susulan ucapannya yang memberi amaran pengundi “masuk api neraka” jika memilih BN atau PH, berbanding PN.
Dalam video dimuatnaik dalam laman Facebook Pemuda PAS Sik, Shahiful mengemukakan permohonan maaf, sambil mengakui kenyataan dibuat menyinggung ramai pihak. Beliau juga mahu video berhubung kenyataan itu tidak disebarkan demi menjamin PRU bebas daripada isu perkauman dan agama melampau.
Rafizi ketika mengulas lanjut, memberi peringatan kepada Shahiful supaya menyediakan peguam secepat mungkin.
“Saya akan buat laporan polis sebagai pengajaran kepada PAS lain kali kalau nak masuk pilihan raya cakap dengan pengundi macam mana nak bantu pengundi, beritahu pengundi kalau jadi menteri apa rancangan PAS untuk Melayu, Cina, India.
“Jangan lagi gunakan arahan yang menunggang agama mengatakan orang itu akan masuk neraka, orang ini kafir, tak masuk syurga,” katanya.
Katanya, beliau juga hairan dengan pendirian PAS yang tidak jelas kerana “menerakakan” pengundi yang memilih BN di Semenanjung, sebaliknya di Sabah mengarahkan ahli partinya menyokong gabungan itu.
“Ada masalah besar khusus PAS di Sabah sebab di Semenanjung PAS lawan Umno, dekat Sabah PAS undi Umno, PAS tak tanding di Sabah, PAS, Umno dan Bersatu kerjasama di Sabah, jadi kalau undi BN masuk neraka, di Sabah semua ahli PAS masuk neraka sebab sokong BN,” katanya.