Isu LCS: Ketua Pemuda PAS digesa bukti dakwaan menteri, pemimpin Umno rasuah

Isu LCS: Ketua Pemuda PAS digesa bukti dakwaan menteri, pemimpin Umno rasuah

Pengarah komunikasi Pemuda Umno berkata, laporan PAC tidak menyebut menteri atau pemimpin Umno terbabit rasuah dalam projek LCS.

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri (kiri) mempersoalkan Ahmad Fadhli Shaari jika beliau sengaja memberi gambaran negatif seolah-olah ada pemimpin Umno dan BN terlibat salah laku dalam projek LCS.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menerusi laporannya tidak menyebut menteri atau pemimpin Umno terlibat rasuah dan penyelewengan dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).

Oleh itu, Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mendesak Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari membuktikan dakwaannya berhubung menteri dan pemimpin Umno terbabit rasuah dan penyelewengan dalam skandal LCS.

“Tolong buktikan sekiranya ada pemimpin Umno terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dalam projek itu dan namakan pemimpin berkenaan dan salah lakunya, sekiranya Fadhli adalah ahli politik ‘gentleman’ yang bercakap berdasarkan fakta.

“Selaku salah seorang anggota PAC, Fadhli sepatutnya sedar dalam laporan PAC sendiri tidak ada pun disebut salah guna kuasa, seleweng mahupun penglibatan rasuah menteri dari Umno atau mana-mana pemimpin Umno.

“Jadi, yang saya dan kita faham setakat sekarang adalah masalah pengurusan projek dan kelewatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Fadhli menegur sikap penyokong “parti tertentu” yang dilihat menyerangnya kerana mendesak isu pemerolehan kelengkapan pertahanan negara milik tentera laut disiasat.

Fadhli mempersoalkan adakah hanya kerana isu itu dibangkitkan PAC yang dipengerusikan Ahli Parlimen DAp, maka ia secara automatik dianggap fitnah.

Sementara itu, Johan menyifatkan teguran ketua Pemuda PAS itu tuduhan keterlaluan, walaupun tidak menyebut nama parti yang dimaksudkan.

“Adakah YB sengaja memberi gambaran negatif seolah-olah ada pemimpin Umno-BN terlibat salah laku dalam projek LCS? Sedangkan hari ini, SPRM mula melakukan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat dengan penyelewengan dari Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sendiri.

“Bagi kami Pemuda Umno, Fadhli sengaja mewujudkan niat jahat dan cuba menimbulkan persepsi imej tidak baik kepada Umno seperti yang sering PAS lakukan.

“Pemuda Umno sentiasa konsisten dan dengan tegas, jika wujud salah laku dari mana-mana pihak, termasuk pemimpin kami, maka tindakan undang-undang mestilah disegerakan.”

Pada 4 Ogos lalu, PAC dalam laporannya mendedahkan tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus pada 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.