
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, yang mengecam tindakan itu berkata keputusan itu tidak wajar memandangkan Hanis sudah memohon maaf secara terbuka dan memadamkan ciapannya.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan penggantungan Hanis Nadiah Onn. Tindakan ini sangat keras berbanding kesalahan didakwa dilakukan apatah lagi dia sendiri telah memohon maaf secara terbuka terhadap ciapan dibuatnya dan memadam komen tersebut.
“Jawatankuasa siasatan juga telah memanggil jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, yang menyatakan sebagai pemain utama pasukan, Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.
“Jurulatih Hanis sendiri menyatakan dia memiliki ramai rakan hoki dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan,” katanya kepada FMT.
Hanis dikenakan tindakan itu susulan komen berbaur perkauman dibuatnya berkaitan konsert penyanyi AR Rahman baru-baru ini.
Fadhli berkata Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan dia bukan seorang yang rasis dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor, serta memiliki ramai rakan berbangsa India terutama sebagai atlet.
“Ini bermaksud, apa ditulis langsung tidak mempunyai niat untuk membangkitkan elemen perkauman dan rasis seperti didakwa sebahagian netizen,” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa portfolio belia dan sukan Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, campur tangan dan penggantungan Hanis wajib ditarik balik kerana hukuman itu menjejaskan masa depannya.
“Saya yakin menteri akan bertindak bijaksana dalam menangani isu ini,” katanya.
Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan Hanis digantung atas komen dibuat sebelum ini.
KBS dalam kenyataan berkata, KHM akan menilai semula keputusan itu jika Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.