
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan penganjuran bertalu-talu konsert mega bertentangan dengan agama Islam iaitu agama rasmi persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi apa sahaja perkara hendaklah dirujuk kepada Islam, kita berpendapat bila buat konsert seperti ini tidak sesuai dengan Fasa 3 dalam Perlembagaan Persekutuan dan meletakkan kepercayaan kepada tuhan sebagai asas kita bernegara.
“Kita bukan hendak sentuh moral orang lain tetapi kena hormat Islam dan umatnya sebagai majoriti (penduduk negara ini),” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022.

Terdahulu, Kelvin yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching membidas kritikan Fadhli berhubung penganjuran konsert di negara termasuk oleh artis antarabangsa yang disifatkannya “kerja gila” dan “menjemput” kemurkaan Allah.
Kelvin mendakwa PAS kini muflis idea, cuba mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat majmuk dan cuba menjadi “polis moral”.
Fadhli dalam kritikannya itu bagaimanapun tidak menamakan mana-mana konsert secara khusus.
Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut tidak bersetuju dengan penganjuran konsert seumpama itu kerana boleh mendatangkan kemurkaan Allah.
“Perkara macam ini semua sudah tahu kita tidak sokong, kita baru sahaja Allah angkat sedikit bala Covid-19, ekonomi turun dan kilang tutup.
“Kita harap semua ini beri kesedaran apakah yang kita buat ini bimbang dan takut Allah murka kepada kita,” katanya sambil menambah kesan daripada kemurkaan Allah itu akan dirasai pelbagai lapisan masyarakat.