
Azmi Tahir berkata, RM100 juta telah dibayar kepada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang antara 25 Mac 2013 dan April 2013 dan USD105 juta lagi dipindahkan ke Yayasan Rakyat 1Malaysia antara 25 Mac 2013 dan 2 Mei 2013.
“RM100 juta itu adalah sumbangan kepada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang. Pindahan itu dibuat atas arahan Azlin, yang saya percaya datangnya daripada Najib,” katanya merujuk kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Azlin Alias.
Tambah Azmi, dana USD105 juta itu diberikan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia sebagai derma kerana Najib adalah pemegang amanahnya.
Terdahulu, dalam kes Najib membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, beliau didedahkan sebagai salah seorang pengarah yayasan itu.
Azmi juga menegaskan bahawa arahan untuk memindahkan wang sebanyak USD105 kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia datang daripada Najib.
Saksi memberitahu mahkamah bahawa pada 19 Mac 2013, syarikat itu mengeluarkan bon USD3 bilion dan wang (USD2.71 bilion) selepas ditolak caj perkhidmatan dan yuran kepada Goldman Sachs) telah dimasukkan ke dalam akaun Bank BSI, yang didaftarkan di bawah anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investment Limited.
“USD3 bilion itu bertujuan untuk dilaburkan dalam usaha sama dengan Aabar Investment. Bagaimanapun, wang itu tidak dibelanjakan untuk apa yang dihasratkan,” tambahnya.
Selain USD205 juta, Azmi berkata, sebahagian daripada USD2.71 bilion dipindahkan kepada beberapa entiti, iaitu Enterprise Emerging Markets Fund atau EEMF (USD414.8 juta), Cistenique Investment Fund (USD379.6), Devonshire Funds Ltd (USD586.9 juta), Brazen Sky (USD3.3 juta), Pacific Harbour Global Growth (USD248.7 juta), Standard & Poor’s Singapore Pte Ltd (USD1.15 juta), Linklaters Singapore Pte Ltd (USD1.5 juta) serta Perkhidmatan Amanah Korporat (USD62.3 juta).
Beliau juga berkata, USD791.8 juta telah dimasukkan ke dalam akaun 1MDB untuk membayar jualan tanah di Ayer Hitam dan bayaran balik pinjaman lain.
Azmi berkata, transaksi USD791.8 juta itu dilakukan atas arahan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu Mohd Hazem Abdul Rahman.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.