Guru ‘tersepit’, terbeban dengan keputusan ‘dikosmetik’, dakwa bekas menteri

Guru ‘tersepit’, terbeban dengan keputusan ‘dikosmetik’, dakwa bekas menteri

Maszlee Malik mendakwa jika guru tidak memberi data yang baik, mereka akan dikenakan tindakan.

Maszlee Malik berkata tindakan ‘mengkosmetikkan’ data daripada guru tidak mencerminkan keadaan sebenar dan hanya menganiaya pelajar.
KUALA LUMPUR:
Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mendakwa guru kini “tersepit” serta terbeban dengan keputusan yang “dikosmetikkan” dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Beliau berkata, sekiranya guru tidak memberi data yang baik, mereka akan dikenakan tindakan.

“Para pendidik terbeban dengan keputusan yang ‘diskometikkan’ dengan data yang cantik.

“Namun, saya fikir wajar dengar suara pendidik guru di bawah yang semakin terhimpit dan tersepit,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Maszlee berkata beliau memberi contoh isu seperti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) antara data yang “dikosmetikkan”.

Katanya, ia berlaku hanya kerana mahu kejayaan atas kertas yang ingin dipaparkan dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Saya mendapat ribuan (aduan) daripada guru yang ditekan untuk dipastikan dapatan dan data yang dipersembahkan harus ikut selera orang atasan.

“Ini untuk dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM). KPM akan bentang pada menteri dan menteri akan bentang kepada kita di Dewan Rakyat,” katanya.

Maszlee berkata, tindakan “mengkosmetikkan” data daripada guru tidak mencerminkan keadaan sebenar dan hanya menganiaya pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.