
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata sebelum ini guru terpaksa memasukkan ratusan malah ribuan data amalan baik murid dalam SSDM.
“Jadi, apabila Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan sistem itu akan dikembalikan kepada fungsi asalnya, kami percaya ini satu berita yang sangat melegakan para guru di seluruh negara,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025, di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Fadhlina dalam ucapan perasmian konvensyen itu hari ini, dilapor berkata langkah penambahbaikan itu membolehkan guru memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama, khususnya pelaksanaan Kurikulum Baharu Sekolah Rendah dan Menengah pada 2026 dan 2027.
Fadhlina turut dilapor berkata langkah penambahbaikan itu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat bagi memastikan pelaksanaan benar-benar membantu meringankan tugas guru.
Aminuddin berkata pengumuman itu seiring dapatan kajian NUTP yang dibentangkan pada konvensyen itu membabitkan 26 kajian seluruh negara berkaitan isu semasa dan beban tugas guru.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung (Penyelidikan dan Pembangunan) NUTP, Muhammad Ridzuan Idris mencadangkan KPM melaksanakan kajian menyeluruh mengenai kesihatan mental guru di seluruh negara bagi membolehkan intervensi yang lebih komprehensif dirangka.
Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025, anjuran NUTP dengan kerjasama Fakulti Pendidikan Universiti Malaya itu menghimpunkan 26 isu utama berkaitan guru termasuk aspek kesejahteraan, profesionalisme dan pembangunan karakter warga pendidik.