Pharmaniaga tawar Kementerian Kesihatan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak

Pharmaniaga tawar Kementerian Kesihatan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak

Syarikat farmaseutikal berkata ia dalam peringkat akhir perbincangan dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan dijangka mendapat kelulusan tidak lama lagi.

Pharmaniaga berkata, ia mempunyai vaksin yang mencukupi untuk memenuhi keperluan dos penggalak negara.
PETALING JAYA:
Pharmaniaga Berhad menawarkan vaksin Sinovac Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan untuk digunakan sebagai dos penggalak bagi penerima Sinovac.

Ini sebagai tindak balas kepada ahli jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, yang berkata 20% daripada penerima Sinovac menolak vaksin Pfizer yang kini digunakan sebagai penggalak kerana mereka berasa selesa dengan vaksin itu dan mahu vaksin asal digunakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Zulkarnain Md Eusope berkata syarikat itu dalam peringkat akhir perbincangan untuk mendaftarkan vaksin itu sebagai dos penggalak dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan ia dijangka diluluskan tidak lama lagi.

“Kami berharap sebaik sahaja NPRA meluluskan permohonan itu, kerajaan akan memberi lampu hijau untuk vaksin itu digunakan sebagai suntikan penggalak bagi penerima Sinovac.

“Majoriti penerima Sinovac menerima dos kedua mereka antara Jun dan September. Oleh itu, keperluan untuk suntikan penggalak akan bermula dari Disember dan kami mempunyai dos yang mencukupi untuk memenuhi keperluan negara,” katanya.

Zulkarnain menegaskan bahawa vaksin Sinovac telah pun diluluskan untuk digunakan sebagai penggalak di China, Turki, Chile, Indonesia dan Kemboja, dengan tambahan enam lagi negara sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Ketika ini, vaksin itu telah diluluskan oleh NPRA untuk digunakan pada mereka yang berumur 12 tahun ke atas, tetapi mengikut pemberian dua dos asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.