2 lemas cuba selamatkan ibu, adik

2 lemas cuba selamatkan ibu, adik

Kedua-duanya berusaha menyelamatkan ibu dan adik seorang daripada mangsa yang hampir lemas ketika mandi di kawasan itu ketika kejadian.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Gerik, menurut polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Percubaan dua lelaki yang mahu menyelamatkan ibu dan adik mereka bertukar tragedi selepas kedua-duanya lemas di sungai dekat Loji Pembersihan Intake Air Lembaga Air Perak (LAP) di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, di Perak semalam.

Dalam kejadian pada jam 3 petang itu, mangsa Abdul Rahman Ramli, 26, dan abang iparnya, Ahmad Asymuni Idris, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana lemas, menurut laporan Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Gerik Zulkifli Mahmood berkata, kedua-dua mangsa berusaha menyelamatkan ibu dan adik Abdul Rahman yang hampir lemas ketika mandi di kawasan itu ketika kejadian.

Katanya, mangsa bersama keluarga terdiri daripada ibu dan adik-beradik serta anak-anak saudara pergi ke tempat kejadian untuk riadah dan mandi di kawasan sungai, sebelum ibu mangsa (Abdul Rahman) nyaris lemas.

“Ibu mangsa dapat diselamatkan bersama adik mangsa yang juga hampir lemas, manakala kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Gerik,” katanya.

Tambahnya lagi, ibu dan adik mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk dibedah siasat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.