
Sebaliknya, Idris menjelaskan beliau hanya pulang ke kampung halamannya di Asahan dan ia tiada kaitan dengan desas-desus perpindahan dari DUN Sungai Udang ke kawasan itu pada pilihan raya negeri (PRN) 20 November ini.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan kedatangannya ke Asahan adalah untuk penyampaian sumbangan kit makanan kepada anggota komuniti India sempena Deepavali di sebuah taman perumahan atas undangan Setiausaha Perhubungan Amanah Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat.
“Saya balik kampung untuk bertemu keluarga dan sanak saudara yang ramai di Asahan dan kemudian menerima panggilan Asyraf yang meminta saya hadir ke sebuah taman.
“Tujuannya bukan untuk berkempen, sebaliknya untuk menyerahkan sumbangan kit makanan kepada anggota masyarakat,” menurut laporan Melaka Hari Ini.
Idris diminta mengulas klip video beliau berucap di khalayak anggota komuniti di sebuah taman perumahan sebelum penyampaian sumbangan itu dilakukan.
Dalam pada itu, mengulas pembahagian kerusi yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim Jumaat lalu, Idris menyifatkan pembahagian tersebut mencerminkan kesepakatan parti komponen PH untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).
“Berdasarkan pengalaman saya sebagai Ketua Menteri dan mengetuai BN pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14), aspek pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen sangat sukar untuk diselesaikan kerana setiap parti ada kekuatan masing-masing.
“Bagaimanapun, apabila pembahagian itu berjaya disepakati, saya yakin PH sudah berjaya melepasi halangan pertama dan mempunyai prospek amat cerah untuk meraih kemenangan pada PRN kali ini,” katanya.