
Menjawab soalan tambahan Senator Musoddak Ahmad di Dewan Negara, Zambry berkata isu relevansi kursus sering dikaitkan dengan perbincangan lebih besar mengenai pembangunan bakat dan fenomena ‘brain drain’ dalam negara.

Menurutnya, kementerian mengambil maklum pandangan mengenai kursus didakwa tidak lagi diminati atau tidak memenuhi keperluan pasaran, namun menegaskan universiti mempunyai mekanisme untuk menilai dan menyemak program mereka.
“Setiap tiga hingga lima tahun, universiti akan merangka semula dan melakukan semakan secara akademik untuk menilai sama ada kursus itu masih relevan atau tidak,” katanya.
Zambry berkata perubahan landskap global, khususnya perkembangan teknologi, menuntut IPT memperkenalkan pendekatan kurikulum baharu yang lebih bersifat ‘minds-on’ berbanding hanya ‘hands-on’.
Mengambil contoh bidang kejuruteraan, beliau berkata keperluan industri kini berubah daripada kejuruteraan konvensional seperti sivil dan elektrik kepada pendekatan ‘integrated engineering’ yang menggabungkan pelbagai disiplin.
“Perubahan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi seluruh dunia sedang menuju arah sama,” tambahnya.
Menurut Zambry, transformasi pendidikan tinggi turut digerakkan melalui Pelan Pendidikan Tinggi Nasional 2025–2035 yang memberi tumpuan kepada penyediaan program sejajar keperluan ekonomi digital dan industri masa depan.
Beliau yakin pelan itu akan memberikan hala tuju jelas kepada universiti untuk terus menyesuaikan kurikulum dengan perubahan pesat global serta memenuhi permintaan pasaran kerja.
“Kita harap dengan adanya pelan ini, agenda penambahbaikan pendidikan tinggi negara dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.