
Setakat bulan lalu, katanya, ia meluluskan pinjaman dan mempunyai komitmen pembiayaan aktif berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 pelajar dan 306 pusat latihan.
Jelasnya, tahun ini saja, seramai 21,947 pelajar diluluskan pinjaman mereka.
“Semua pelajar yang diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa. Malah, elaun sara hidup kini dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 bagi setiap pelajar.
“Sehubungan itu, dakwaan dibangkitkan pihak berkenaan tidak berasas sama sekali. Hal ini demikian kerana hakikatnya, tiada seorang pun pelajar yang sudah diluluskan pinjaman diberhentikan pembiayaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, PTPK sentiasa beriltizam memastikan anak muda Malaysia mendapat akses kepada latihan kemahiran relevan dan perkara ini dibuktikan dengan kelulusan pinjaman RM4.76 bilion melibatkan 306,600 peminjam sejak penubuhan PTPK pada 2001.
PTPK memaklumkan pada masa akan datang, pengagihan dana akan dipandu beberapa penekanan utama, termasuk keutamaan kepada program berimpak tinggi, rekod prestasi bayaran balik pinjaman, pematuhan terhadap syarat permohonan (termasuk rayuan) dan penempatan pekerjaan selepas tamat latihan.
“Dengan pendekatan baharu berasaskan ‘performance-based budgeting’ dan ‘prinsip value for money’, PTPK yakin keberkesanan dan kelangsungan dana akan terus terjamin, sekali gus memastikan pelajar mengikuti kursus lebih berkualiti, memperoleh kelayakan lebih baik dan mempunyai masa depan lebih terjamin.”