Surat sokongan: Kamil dakwa jadi mangsa permainan persepsi

Surat sokongan: Kamil dakwa jadi mangsa permainan persepsi

'Tidak ada sebutir perkataan pun dalam surat mencadangkan saya sokong atau setuju beri projek,' kata Setiausaha politik kepada menteri kewangan, Kamil Munim.

Kamil Munim
Setiausaha Politik Kamil Munim kata beliau tidak pernah keluar satu ‘surat setuju’ sepanjang tiga tahun berkhidmat dengan menteri kewangan.
PUTRAJAYA:
Setiausaha politik kepada menteri kewangan, Kamil Abdul Munim, mendakwa beliau mangsa permainan persepsi yang mahu mengaitkan beliau dengan budaya surat sokongan.

Mengulas dakwaan tular di media sosial, Kamil berkata persepsi sedemikian didorong lawan politik serta dendam yang tidak berkesudahan, termasuk dalam parti sendiri.

Beliau berkongsi dengan FMT satu kejadian apabila beberapa pemimpin PKR mempersoalkan tindakan beliau mengajukan suatu surat kepada sebuah agensi kerajaan, berkenaan sebuah syarikat yang mahu terlibat dengan suatu projek.

Kamil kata namanya terpalit dakwaan kerana mengajukan surat kepada agensi yang bertanggungjawab menilai keupayaan sesebuah syarikat.

“Ada beberapa pimpinan menyerang saya, kononnya dibuat semakan syarikat ini dilihat tidak ada lesen CIDB (pendaftaran dalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia). Saya kata sebab itulah surat diajukan kepada agensi kerana ia ada pasukan penilaian,” katanya.

“Tidak ada sebutir perkataan pun dalam surat tersebut yang mencadangkan bahawa saya menyokong ataupun bersetuju untuk diberi kali ini. Saya terima (surat), saya cuma ajukan, dan terserah kepada agensi. Bukan saya yang menentukan.” katanya.

Kamil menegaskan beliau memahami kedudukannya dan Kementerian Kewangan. “Ramai datang cuba untuk bypass the process. Kadang-kadang saya tak bertemu, surat ada atas meja saya.”

“Saya fikir tidak wajar untuk kita bypass the process. Kalau kamu nak terlibat dalam urusan ini ataupun urusan itu, wajar dinilai di peringkat agensi,” katanya.

Kamil mengingatkan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa meluluskan permohonan dana atau projek, yang terletak sepenuhnya pada Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.

“Kalau kata saya mempengaruhi keputusan di peringkat agensi, bagi saya, it is an insult to kita punya penjawat awam. Mungkin ini satu bentuk amalan sebelum daripada ini — kerajaan pada hari ini kita memastikan tentang soal tatakelola.”

Kamil mendedahkan pejabat beliau terima ratusan surat sebulan, sehingga beliau perlu peruntuk satu hari untuk meneliti setiap satu, namun tidak pernah keluar satu ‘surat setuju’ sepanjang tiga tahun berkhidmat.

“Umpamanya kalau orang mohon bantuan rumah, saya akan ajukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk lihat keperluan — kalau ada keperluan, bantu.

“Kalau ada syarikat mohon untuk terlibat dalam projek ataupun tender begitu begini. Saya kata kamu perlu lalui proses yang telah ditetapkan. Pergilah kepada pihak ataupun agensi dan sebagainya.”

Sebelum ini kontroversi surat sokongan turut dikaitkan dengan bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin, disusuli desakan yang mahu beliau dipecat.

Anwar dilapor berkata beliau tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan, namun ‘surat sokongan’ itu bukan arahan, dan kelulusan projek tidak dipengaruhi oleh surat itu kerana pihak berkuasa maklum mengenai tatacara standard.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.