
Ia sekali gus menafikan dakwaan individu perlu melunaskan saman sebelum 31 Dis untuk kekal layak bawah skim itu.
Menteri Loke Siew Fook berkata, saman tertunggak dan skim subsidi BUDI95 adalah dua mekanisme berbeza yang tidak berkait secara langsung.
“MOT ingin menjelaskan saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol BUDI95 merupakan dua mekanisme yang beroperasi secara berasingan.
“Kedua-duanya bukan perkara sama dan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya melangsaikan saman sebelum 31 Dis untuk mengelakkan kehilangan subsidi petrol bawah BUDI95.
Loke berkata, mengikut dasar semasa, syarat untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol BUDI95 adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad, serta memiliki lesen memandu aktif.
Kataya, lesen memandu aktif merujuk kepada lesen masih sah atau yang tidak luput melebihi tiga tahun.
Beliau bagaimanapun menasihatkan pengguna jalan raya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua.