CAP sambut baik keputusan Kabinet dalam isu jenama ‘sentuh sensitiviti’, namun tak semua pihak setuju

CAP sambut baik keputusan Kabinet dalam isu jenama ‘sentuh sensitiviti’, namun tak semua pihak setuju

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow, berkata keputusan Kabinet itu sudah lama ditunggu pertubuhan terbabit yang memperjuangkan isu kawal selia terutama berhubung pelabelan.

NV Subbarow (kiri) berkata isu wiski Timah, membuktikan segala bentuk sensitiviti perlu dihormati, manakala N Marimuthu menganggap pengguna mempunyai hak untuk memilih.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang pertama sekali mengutarakan isu jenama arak Timah, memandang baik keputusan Kabinet melarang penggunaan nama kepada jenama yang mengandungi unsur perkauman atau menyentuh sensitiviti agama.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Kabinet memutuskan melarang penggunaan nama kepada jenama yang mengundang unsur perkauman atau menyentuh sensitiviti agama.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow, berkata keputusan Kabinet itu sudah lama ditunggu pertubuhan terbabit, yang telah lama memperjuangkan isu kawal selia pelabelan.

“Perlu ada jawatankuasa ditubuhkan terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam kawal selia pelabelan produk,” katanya kepada FMT.

“Mereka ini mesti mampu mengkaji imej dan perkataan pada label demi memastikan ia tidak membawa unsur penghinaan kepada mana-mana kumpulan.”

Ditanya bagaimana mendefinisikan perkataan “penghinaan”, beliau mengakui ia adalah perkara “rumit”.

“Tidak patut ada perkataan atau nama yang merujuk kepada budaya, kaum mahupun agama. Tidak boleh juga menggunakan nama merujuk kepada individu seperti cendikiawan atau tokoh sejarah kerana ia mungkin menyinggung kumpulan tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, tidak semua pihak bersetuju, dan Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia Shaun Edward Cheah, berkata kerajaan sepatutnya tidak campur tangan dalam perniagaan, melainkan (jenama) benar-benar berunsur penghinaan.

Katanya, persekitaran perniagaan tanpa hala tuju akan memberi mesej salah kepada pelabur luar berkenaan proses membuat keputusan di negara ini.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Marimuthu Nadason, berkata walaupun tidak mempunyai masalah dengan tindakan kerajaan mengawal selia iklan dan bahan pemasaran, kerajaan tidak patut menyekat terus mana-mana produk.

“Sekiranya kerajaan mahu mewujudkan peraturan terhadap iklan dan pemasaran, itu terpulang kepada mereka dan untuk pengeluar mematuhinya.

“Namun, pengguna perlu diberi ruang memilih sama ada mereka mahu menggunakan produk itu atau tidak. Mereka mempunyai hak membuat keputusan berkenaan dan bukannya pihak lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.