Semakan BUDI95 di stesen minyak atasi jurang digital

Semakan BUDI95 di stesen minyak atasi jurang digital

Pengusaha stesen minyak sedia kelengkapan dan kakitangan untuk melancarkan BUDI95 yang dilaksana berperingkat mulai esok.

pam minyak petrol pump
Mulai esok harga RON95 dikurangkan secara berperingkat kepada RM1.99 seliter menerusi BUDI95.
PETALING JAYA:
Bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menikmati subsidi RON95 akibat jurang digital, semakan kelayakan dan baki juga boleh dibuat di stesen minyak selain platform dalam talian.

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) menyatakan, ahlinya sudah bersedia menjayakan program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang akan bermula esok dengan penyediaan kelengkapan dari segi terminal selain kakitangan yang sedia membantu.

“Pelanggan hanya perlu tunjuk MyKad dan kakitangan kaunter boleh bantu buat semakan status subsidi mereka.

“Bagi stesen jenama besar, ada juga kemudahan di pam yang membolehkan pelanggan masukkan MyKad untuk semakan automatik sebelum mengisi minyak,” kata Setiausaha Hanny Julia Haron kepada FMT.

Namun, di sebalik kesediaan pengusaha, Julia berharap kerajaan dapat membantu menyediakan pasukan bertindak segera untuk menangani masalah teknikal, pelan sandaran dan SOP khas jika wujud kesesakan.

“Selepas tiga bulan pelaksanaan, kerajaan juga wajar laksanakan audit menyeluruh untuk mengenal pasti kesan dasar ini kepada rakyat, pengusaha, syarikat minyak dan kerajaan sendiri.

graphic mof subsidi
Kaedah pembelian Petrol RON95 menerusi program BUDI95 sama seperti ketika ini.

“Ini untuk menyelesaikan isu berbangkit di lapangan,” katanya.

Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan dilakukan menggunakan MyKad.

Anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula esok, diikuti sembilan juta golongan B40 terdiri penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad sebelum diperluas kepada pengguna lain mulai 30 Sept.

Selain di kaunter, orang ramai juga boleh melayari portal khas www.budimadani.gov.my, TNG e-Wallet atau aplikasi syarikat minyak untuk semakan kelayakan dan baki subsidi menerusi BUDI95.

graphic mof subsidi
Transaksi BUDI95 boleh dibuat melalui pelbagai kaedah.

Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan di 1300-88-9595 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Budi Madani.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T Saravanan, pula melahirkan harapan pelaksanaan dasar memanfaatkan 16 juta orang itu akan berjalan lancar.

Katanya, kebimbangan mereka terutama kewujudan isu jurang digital di luar bandar boleh mengehadkan akses kepada program membantu rakyat.

“Ramai warga emas masih tidak celik digital, pengguna kelainan upaya pula mungkin berdepan kekangan dari segi peranti atau kebolehan teknikal manakala mereka yang tinggal di pedalaman sering menghadapi masalah capaian internet lemah.

“Sebab itu kita harap di luar bandar semakan di stesen minyak dipermudahkan. Pengguna hanya perlu bawa MyKad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.