
Rata-rata pakar bersetuju usaha menangani obesiti melalui pendekatan lebih luas lebih berkesan mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan angin ahmar, yang menyumbang kepada lebih 70% kematian pramatang di Malaysia.
Dua pakar pemakanan turut menyeru langkah proaktif diambil bagi mengekang pengambilan makanan ultra-proses, yang mudah diperoleh pada harga mampu milik, khususnya oleh golongan berpendapatan rendah.
Ketua Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN) Mary Easaw berkata meskipun cukai gula yang tinggi dapat membendung pengambilan minuman bergula sekali gus mengawal risiko diabetes jenis 2, skop perhatian perlu diperluas kepada makanan jenis lain.
“Makanan terproses lebih murah daripada makanan sihat, justeru ia menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah. Namun, ia juga penyumbang utama obesiti yang menjadi punca pelbagai NCD,” katanya kepada FMT.
Pakar dietetik klinikal Farah Farhanah Hashim pula berkata makanan terproses yang tinggi kandungan sodium amat mudah diakses di kawasan perumahan berpendapatan rendah.
Menurutnya, selain mengurangkan pengambilannya, penting memberi subsidi bagi harga bagi makanan segar sambil memperketat kawal selia terhadap pembuatan dan penjualan makanan terproses.
“Selain percukaian, inisiatif ini perlu bermula di peringkat sekolah dengan menyediakan pilihan makanan lebih berkhasiat, mencontohi sistem sekolah awam di Jepun.
“Langkah mengekalkan harga murah sayur-sayuran dan buah-buahan melalui subsidi juga akan mendorong tabiat pemakanan lebih sihat,” katanya, sambil menambah pengambilan makanan terproses juga mungkin berpunca daripada tahap literasi pemakanan rendah.
Malaysia mencatatkan kadar obesiti dewasa dan kanak-kanak tertinggi di rantau Asia Tenggara. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa 21.3% orang dewasa di Malaysia mengalami obesiti, meningkat daripada 19.7% pada 2019.
Easaw berkata pendekatan percukaian yang hanya menyasarkan satu nutrien tidak akan memadai untuk menangani wabak NCD, merujuk cukai gula yang tinggi di Malaysia sebagai contoh.
Menurutnya, isi rumah berpendapatan rendah sangat peka terhadap harga dan cenderung memilih makanan ultra-proses disebabkan keterbatasan akses kepada pilihan lebih sihat.
Sebagai contoh, corak pemakanan tipikal rakyat Malaysia sering tertumpu pada makanan segera dan mudah yang tinggi kalori tetapi rendah nilai nutrisi, dengan tumpuan utama pada garam, gula dan lemak.
Sajian lazim seperti segelas teh tarik (150 kcal) dan sekeping roti canai (400 kcal) mungkin tampak tidak memudaratkan, namun gandingannya menyumbang kira-kira 550 kcal dengan manfaat nutrisi yang terhad.
Sekeping roti canai sahaja — suatu hidangan terproses yang mudah didapati — mengandungi kira-kira 13g lemak dan hanya 1.8g gula, serta menawarkan kandungan serat atau protein yang rendah untuk membekalkan tenaga atau rasa kenyang.
Walaupun murah, lazat dan signifikan dari sudut budaya, hidangan seumpama ini padat tenaga tetapi rendah nutrisi, sekali gus menyumbang kepada amalan pemakanan buruk apabila kerap diamalkan.
Kesedaran nutrisi yang lebih baik serta sedikit pelarasan diet, seperti mengurangkan gula, memilih lauk-pauk tinggi protein, atau mengehadkan kekerapan pengambilan, dapat membantu menyeimbangkan keenakan makanan popular ini dengan kesihatan jangka panjang.
Bersederhana, bukan terus sekat
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T Saravanan berkata perubahan hakiki menuntut kajian mendalam yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, dengan campur tangan berasaskan insentif.
“Fomca tidak menyokong naratif yang menuding jari kepada gula semata-mata,” katanya, merujuk cukai gula.
Menurutnya, bahan seperti gula boleh menjadi sebahagian pemakanan sihat jika diambil secara sederhana.
“Fokus utama haruslah mendidik pengguna untuk membuat pilihan bijak, sederhana dan mampan. Ini merangkumi pelabelan jelas, literasi pemakanan mudah diakses, dan persekitaran kondusif yang menjadikan pilihan lebih sihat lebih jelas, mampu milik dan menarik,” katanya.
Saravanan menambah bahawa Malaysia boleh mencontohi negara lain yang menggandingkan penghalang fiskal dengan insentif gaya hidup bagi menggalakkan amalan hidup lebih sihat.