Latih doktor muda jadi pakar untuk capai sasaran 2030, kerajaan diberitahu

Latih doktor muda jadi pakar untuk capai sasaran 2030, kerajaan diberitahu

Persatuan Perubatan Malaysia mahu kerajaan lebih fokus dalam melatih doktor muda menjadi pakar.

Ketika ini, nisbah doktor pakar kepada pesakit adalah bersamaan dengan 3.88:10,000.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memberi fokus untuk melatih doktor pakar daripada kalangan doktor muda sedia ada berbanding usaha membawa pulang doktor pakar yang berkhidmat di luar negara.

Bercakap kepada FMT, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai mencadangkan kerajaan untuk membenarkan doktor muda untuk menjalani latihan kepakaran selepas memberi taraf jawatan kontrak atau melanjutkan kontak mereka.

Katanya, kerajaan juga perlu menangani “nisbah yang tidak sihat” doktor pakar kepada pesakit.

Ketika ini nisbah itu bersamaan dengan 3.88:10,000 dan ia menjadi sebab mengapa kerajaan berusaha membawa pulang doktor pakar dari luar negara.

Dr Koh Kar Chai.

“Negara memerlukan sasaran yang lebih baik iaitu 14.33 doktor pakar kepada setiap 10,000 pesakit,” katanya sambil menambah lebih ramai doktor pakar diperlukan bagi mengelakkan kelesuan dan menyebabkan penghijrahan golongan cerdik pandai ke luar negara.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata kerajaan sentiasa melihat peluang untuk membawa pulang doktor pakar dari luar negara selain mensasarkan untuk mempunyai 28,000 doktor pakar menjelang 2030.

Sementara itu, Koh berkata beliau mengalu-alukan kepulangan doktor pakar terbabit namun menggesa supaya mereka memberi lebih perhatian untuk memahami punca di sebalik berlakunya penghijrahan golongan cerdik pandai itu.

“Namun pada masa yang sama, ketika isu doktor kontrak diselesaikan, kita mungkin tidak perlu mengambil jalan membawa pulang doktor pakar dari luar negara,” katanya.

Ditanya sama ada doktor kontrak dan pakar perlu bersaing dengan doktor pakar dari luar negara, katanya, beliau tidak merasakan perkara itu akan berlaku.

“Malah, mereka dapat berkongsi ilmu dengan lebih banyak lagi di kalangan rakan sekerja yang amat digalakkan di kalangan kumpulan pengamal perubatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.