
Katanya, beliau “sudah lama” berusaha menangani isu ini dan telah berbincang dengan wakil daripada Jabatan Peguam Negara berhubung pindaan itu.
“Kementerian mengadakan libat urus yang baik dengan Jabatan Peguam Negara dan (kami) sedang dalam peringkat akhir meneliti pindaan itu.
“Ini bukan sahaja melibatkan pelatih program laluan selari tetapi juga mereka yang melanjutkan pengajian sarjana di dalam negara.
“Harus difahamkan, KKM dipandu oleh Jabatan Peguam Negara (dalam perkara ini),” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Ampang hari ini.
Menteri itu berkata demikian menjawab pertanyaan sama ada pindaan akta tersebut hanya akan melibatkan pakar lulusan program laluan selari atau mana-mana individu yang berdepan masalah untuk diiktiraf MPM.
MPM sebelum ini enggan mengiktiraf pakar lulusan Royal College of Surgeons Edinburgh bawah program laluan selari, khususnya dalam pembedahan kardiotoraks.
Sehubungan itu, empat doktor memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa MPM mengiktiraf kelayakan mereka dan menyenaraikan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan, membolehkan mereka berkhidmat sebagai pakar. Kes itu akan didengar pada 17 April.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi membenarkan enam pakar lulusan program patologi (genetik perubatan) Universiti Sains Malaysia untuk mencabar keputusan MPM tidak mengiktiraf kelayakan mereka. Kes mereka akan didengar pada 20 Jun.
Sementara itu, merit kes seorang pakar bedah saraf Malaysia bertugas di Hong Kong, yang memohon untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, akan didengar pada 16 April.
Beberapa doktor kanan mendakwa MPM menolak permohonan lapan pakar bedah kardiotoraks dan 100 pakar perubatan keluarga, yang dilatih menerusi program laluan selari, untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Minggu lepas, Dzulkefly berkata, Akta Perubatan 1971 dijangka dipinda pada sidang Dewan Rakyat Jun ini bagi membetulkan isu berkaitan dengan pengiktirafan pakar oleh MPM.
Beliau menegaskan komitmen KKM untuk menambah bilangan pakar bagi menampung keperluan negara.