
Mereka berkata, Royal College of Surgeons of Edinburgh, yang termasuk bawah program laluan selari (parallel pathway) Kementerian Kesihatan (KKM), hilang daripada senarai MPM pada tahun itu tanpa sebarang pengumuman.
Mereka juga keliru dengan kenyataan majlis itu semalam bahawa ia tidak pernah mengiktiraf pakar bedah kardiotoraks daripada kolej itu, walaupun KKM mengisytiharkan bahawa doktor-doktor terbabit boleh memohon diwartakan sebagai pakar.
MPM hanya menyenaraikan doktor dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) jika sesebuah kolej berada dalam senarai pengiktirafannya. Doktor yang tidak tersenarai dalam NSR tidak boleh berkhidmat sebagai pakar.
Senator Dr RA Lingeswaran, yang membangkitkan perkara itu di Dewan Negara berkata, rekod MPM tidak berbohong.
Beliau juga mempersoalkan kenyataan MPM, yang menurutnya mengelirukan fraterniti perubatan.
“Apabila KKM menawarkan surat kepada pakar terlatih daripada kolej ini untuk memulakan proses pewartaan minimum enam bulan, semestinya ini bermakna kementerian mengiktiraf kelayakan tersebut,” katanya.
“Sekarang MPM kata ia tidak mengiktiraf latihan ini,” katanya sambil menambah, kedua-dua pihak tidak tahu apa masing-masing lakukan.
“Paling mengejutkan, ketua pengarah kesihatan dan presiden MMC ialah orang yang sama. Apa yang sedang berlaku?” soal Lingeswaran, yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang.
Presiden MPM Dr Radzi Abu Hassan berkata, majlis itu tidak pernah mengiktiraf pakar bedah kardiotoraks daripada Royal College of Surgeons of Edinburgh.
Bagaimanapun, katanya, majlis telah dimaklumkan tentang isu berkaitan pakar-pakar bedah ini, dan pasukan tugas khas telah ditubuhkan untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.
Dalam hantaran di Facebook, Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) Persatuan Perubatan Malaysia turut menzahirkan kekeliruan berhubung pengumuman tersebut.
Schomos memuat naik tangkap layar rekod NSR di laman sesawangnya, yang menunjukkan pengiktirafan laluan-laluan selari untuk bidang pembedahan kardiotoraks, termasuk Royal College of Surgeons of Edinburgh, serta pengguguran kolej itu daripada senarai selepas itu.
Turut dimuat naik, tangkap layar daripada Januari 2022 yang menunjukkan kelayakan daripada kolej itu diiktiraf oleh MPM.