Saksi nampak Zara mundar-mandir sebelum ditemui tak sedar diri

Saksi nampak Zara mundar-mandir sebelum ditemui tak sedar diri

Pelajar Tingkatan Dua SMKA Tun Datu Mustapha beritahu Mahkamah Koroner dia lihat Zara Qairina Mahathir menangis dengan wajah kemerahan.

zara qairina
Peguam yang mewakili ibu Zara Qairina Mahathir berkata dua doktor iaitu pakar psikiatri dan pakar patologi akan beri keterangan dalam sesi akan datang inkues itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang saksi yang juga pelajar Tingkatan Dua SMKA Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina Mahathir berada dalam keadaan emosi yang sangat tidak stabil kira-kira sejam sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama.

Peguam Ram Singh berkata, saksi ke-65 itu, melihat Zara berjalan mundar-mandir di kaki lima tingkat tiga asrama antara 1 pagi hingga 2 pagi.

Katanya, ketika itu saksi tinggal di asrama lain (Asrama B) datang ke Asrama A untuk mencari rakannya, lapor Berita Harian.

“Apabila dia naik ke tingkat tiga, dia melihat Zara dan dapat mengenal pasti pakaian yang dipakainya. Zara dalam keadaan menangis dan wajahnya juga kemerahan.

“Selepas itu, mereka berbual kira-kira 10 minit sebelum membawa Zara kembali ke asramanya,” katanya.

Menurutnya, Zara turut mengatakan sesuatu mengenai mencederakan dirinya, namun diberi nasihat supaya tidak berbuat demikian.

Ram berkata keterangan yang diberikan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-61 inkues itu hari ini adalah penting dan meyakinkan.

Seorang lagi peguam Joan Goh berkata saksi itu baru tampil kepada pihak berkuasa dan menceritakan mengenai kejadian itu pada Ramadan lalu.

Joan berkata walaupun kanak-kanak itu sebelum ini telah memaklumkan kepada polis mengenai apa yang berlaku pada waktu itu, tiada kenyataan direkodkan.

“Hanya baru-baru ini dia bercakap mengenai perkara itu dan guru sekolah kemudian menghubungi pegawai polis,” katanya.

Ram dan Goh mewakili seorang daripada lima pelajar yang dituduh mendera Zara secara lisan.

Sementara itu, Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara berkata dua doktor pakar akan memberi keterangan dalam sesi akan datang inkues itu.

Katanya, saksi yang dipanggil ialah Dr Chua Sze Huang, pakar psikiatri di Hospital Mesra, Bukit Padang dan pakar patologi Dr Phupinder Singh, lapor Bernama.

Beliau berkata Chua dijangka mengemukakan laporan psikiatri setebal 84 muka surat berhubung keadaan Zara sebelum kematiannya.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.