Iktiraf laluan selari atau kita akan kehilangan graduan, pakar kanan beri amaran

Iktiraf laluan selari atau kita akan kehilangan graduan, pakar kanan beri amaran

Lebih ramai doktor pakar akan berhijrah ke luar negara jika isu itu tidak diselesaikan segera.

Doctor
Dengan penghijrahan pakar dan kekurangan doktor di hospital awam, petugas kesihatan berasa ‘sedih, kecewa, penat’ dan ‘tidak seronok lagi bekerja’, kata Dr Rafidah Abdullah. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua pakar kanan di hospital awam menzahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan kehilangan doktor pakar terlatih yang kelayakannya diiktiraf di luar negara tetapi tidak di Malaysia.

Mereka berkata, pakar-pakar itu tidak harus dipersalahkan sekiranya menerima tawaran bekerja di luar negara kerana kecewa dengan keengganan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) mengiktiraf kelayakan mereka untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).

Dalam hantaran di Facebook Jumaat lepas, pakar nefrologi Dr Rafidah Abdullah berkata, ramai pakar meninggalkan sektor awam untuk bekerja di luar negara atau hospital swasta di dalam negara.

Dr Rafidah Abdullah.

Beliau mengulas mengenai laporan pakar laluan selari mempertimbangkan menerima tawaran pekerjaan di hospital di United Kingdom kerana kelayakan mereka tidak diiktiraf oleh MPM, walaupun kursus latihan mereka ditaja Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kepakaran mereka diiktiraf di luar negara, walhal di negara sendiri diberi label haram,” katanya.

Rafidah merujuk kepada Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu Ibrahim Abu Shah yang menyifatkan program laluan selari KKM sebagai “haram”.

Beliau dilaporkan berkata, program itu tidak berguna, dan mendakwa bahawa banyak negara tidak mempunyai inisiatif sedemikian.

Rafidah berkata, dengan penghijrahan pakar dan kekurangan doktor di hospital awam, petugas kesihatan berasa ‘sedih, kecewa, penat’ dan ‘tidak seronok lagi bekerja’.

3,000 pelatih laluan selari

Empat pakar telah menamatkan program pembedahan kardiotoraks dengan empat lagi akan tamat. Lebih 20 pelatih lagi dalam bidang ini sedang menjalani pelbagai peringkat kursus pengkhususan mereka.

Dianggarkan terdapat 3,000 pelatih laluan selari dalam 14 kepakaran kesihatan pada masa ini.

Semalam, pakar bedah vaskular daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Hanafiah Harunarashid berkata, dua pakar bedah kardiotoraks yang dilatih bawah program laluan selari dengan Royal College of Surgeons of Edinburgh, Scotland telah menerima tawaran kerja daripada hospital di UK.

Dr Hanafiah Harunarashid.

Hanafiah, yang juga pro-naib canselor UKM berkata, pakar-pakar itu telah dipujuk untuk terus kekal di negara ini memandangkan mereka sangat diperlukan.

“Mereka mahu kekal (saya tahu hati mereka ada di sini), tetapi itulah, mereka kecewa. Kedua-dua (pakar ini) dapat tawaran (kerja), seorang di Hospital Royal Brompton di London, dan seorang lagi, yang ingin menjadi pakar bedah jantung pediatrik, di Hospital Kanak-kanak The Great Ormond Street di London.

“Kedua-duanya ialah pakar bedah Melayu,” katanya dalam catatan di Facebook.

Hanapiah berkata, program laluan selari itu direka untuk melatih pakar bedah di dalam negara dan berkhidmat kepada masyarakat tempatan, dengan piawaian antarabangsa.

“Ada yang kata UK tidak iktiraf mereka, jadi kita tidak (pun) tidak patut iktiraf. Bayangkan kata begitu kepada anak lelaki dan perempuan anda. Jangan salahkan orang lain jika mereka tidak kembali,” tambahnya.

Mengucapkan terima kasih kepada menteri kesihatan dan KKM kerana cuba mengekalkan pakar-pakar ini di sini, dengan langkah semasa untuk meminda Akta Perubatan 1971 bagi mengiktiraf kelayakan mereka, Hanapiah yakin perkara itu akan dapat diselesaikan.

“Kami amat hargai sokongan itu. Saya tahu (pakar-pakar ini) akan kekal (dalam negara) jika kita dapat selesaikan isu ini dengan cepat. Jika tidak, kita akan kehilangan bukan sahaja dua pakar ini,” katanya.

Isu berhubung pakar laluan selari dengan MPM dijangka dapat diselesaikan apabila pindaan Akta Perubatan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya, yang dijadualkan dari 24 Jun hingga 18 Julai.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan sedang berusaha menyelesaikan isu berkaitan program laluan selari ini secara menyeluruh

Katanya, pindaan itu telah dicadangkan oleh KKM, berikutan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.