
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata siasatan KKM mendapati dua remaja berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, Perak, meninggal dunia sebelum mereka menerima suntikan vaksin.
“Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun adalah pelajar Tingkatan 5 SMK Tasek Damai. Beliau adalah seorang pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin.
“Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos lalu sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya, remaja kedua seorang lelaki berusia 17 tahun, juga pelajar Tingkatan 5 di SMK Tasek Damai yang menghidap penyakit jantung kongenital.
Katanya, pelajar itu dibawa ke unit kecemasan hospital akibat jangkitan kuman yang teruk.
Difahamkan, ketika dirawat, bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi pesakit itu meninggal dunia pada 17 September lalu, dan belum menerima vaksin Covid-19.
“Punca kematian pelajar terbabit adalah sepsis dengan sejarah penyakit kongenital, manakala hasil siasatan pula mendapati tiada laporan kematian remaja di Lahad Datu akibat vaksin Covid-19,” katanya.
Berhubung dakwaan dua remaja dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesan sampingan susulan suntikan vaksin jenis Comirnaty, Azmi berkata, siasatan mendapati mereka yang berusia 16 dan 18 tahun itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh.
Beliau berkata, remaja berusia berusia 16 tahun sudah dibenarkan pulang, manakala remaja kedua masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital itu.
“Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan dua beradik ini masih belum diterima.
“KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI), untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA,” katanya.
Susulan itu, beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty berikutan kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku, namun kebanyakannya adalah kesan ringan.
“Sila bawa anak atau tanggungan ke fasiliti kesihatan dengan segera untuk rawatan sekiranya mengalami gejala selepas menerima vaksin seperti sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar, bengkak dan gatal pada tubuh yang teruk,” katanya.