Lelaki Indonesia baru kerja 2 minggu maut dikisar jentera bijih besi

Lelaki Indonesia baru kerja 2 minggu maut dikisar jentera bijih besi

Sakdan Muhammad, 36, dari Aceh Timur dikatakan baru selesai membuat pemeriksaan rutin, sebelum terjatuh ke dalam jentera yang dihidupkan pekerja lain.

Polis berkata, mangsa membuat pemeriksaan rutin setiap pagi bagi memastikan jentera palong pengisar bijih besi itu dalam keadaan terbaik, sebelum operasi melombong bijih besi bermula.
PETALING JAYA:
Seorang pekerja warga Indonesia maut terjatuh ke dalam jentera palong pengisar bijih besi yang dihidupkan di sebuah lombong dekat Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan semalam.

Kejadian mengerikan itu berlaku kira-kira 8.40 pagi, ketika Sakdan Muhammad, 36, yang berasal dari Aceh Timur dikatakan baru selesai membuat pemeriksaan rutin, sebelum terjatuh ke dalam jentera yang ketika itu dihidupkan pekerja lain.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, mangsa yang baru bekerja di lombong itu dua minggu lalu, membuat pemeriksaan rutin setiap pagi bagi memastikan jentera dalam keadaan terbaik, sebelum operasi melombong bijih besi bermula.

“Setelah berpuas hati dengan keadaan mesin, dia memberi arahan kepada rakannya supaya membuka suis bagi memulakan operasi. Sebaik jentera dihidupkan, rakan mangsa turun ke bahagian bawah jentera.

“Ketika itu, mangsa dilihat berdiri atas jentera yang bergegar dengan kuat sebelum terjatuh ke dalam jentera. Rakannya tidak sempat mematikan enjin jentera tersebut,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sik berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kira-kira 12 tengah hari dan menemui mayat mangsa dalam jentera terbabit.

“Hasil siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.”

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dirujuk ke Kedutaan Indonesia bagi urusan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.