Saya tiada kaitan tindakan polis ke atas ibu tunggal, kata ADUN Perak

Saya tiada kaitan tindakan polis ke atas ibu tunggal, kata ADUN Perak

ADUN Trong, Jamilah Zakaria berkata, walaupun mangsa digigit anjing ialah anaknya, tetapi perkara yang berlaku adalah antara Saroja Devi dan polis.

Jamilah Zakaria berkata, beliau tahu pemilik anjing, Saroja Devi Krishnan adalah ibu tunggal dan tidak akan mengambil tindakan sivil terhadapnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ibu kepada kanak-kanak 12 tahun yang digigit anjing di Taiping sehingga menyebabkan seorang ibu tunggal terpaksa bermalam dalam lokap polis walaupun selepas membayar wang jaminan, berkata, beliau tiada kaitan dengan perkara itu.

ADUN Trong, Jamilah Zakaria berkata, laporan polis terhadap Saroja Devi Krishnan yang anjingnya menyerang anak perempuannya dibuat ibu mertuanya kerana beliau tiada di rumah ketika kejadian.

Jamilah berkata, sebagai wakil rakyat, beliau tahu perkara sedemikian perlu diserahkan sepenuhnya kepada polis dan menafikan pejabatnya di sebalik insiden itu susulan ramai wartawan berada di mahkamah hari ini.

“Saya tidak tahu kenapa orang kata saya menggunakan pengaruh saya dalam perkara ini. Semuanya dikendalikan polis. Saya tidak menghubungi wartawan dan saya tidak mahu mengulas perkara yang bukan dalam kawalan saya,” katanya kepada FMT hari ini.

ADUN Umno itu berkata, apa yang berlaku dalam penahanan Saroja Devi adalah perkara membabitkan wanita itu sendiri, polis dan pihak berkuasa mahkamah.

Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa polis mengiringi Saroja Devi ke mahkamah dengan “mengaraknya” di depan wartawan – yang diundang ke lokasi – kerana mangsa adalah anak perempuan seorang VIP.

Saroja Devi mendakwa dia dimalukan dengan digari dan dibawa ke balai polis serta ditahan di lokap, walaupun anak perempuannya sudah membayar wang jaminan.

Jamilah berkata, anak perempuannya menderita gigitan anjing serius yang menjejaskan saraf di tangan kanannya dan mengalami pengalaman trauma, manakala anak lelakinya berusia enam tahun yang menyaksikan kejadian itu juga terjejas.

“Anak perempuan saya menjalani pembedahan dan perlu berjumpa doktor selalu. Disebabkan itu, ahli keluarga saya mahu saya mengambil tindakan sivil terhadap pemilik anjing itu. Seperti mana-mana ibu, saya bimbangkan anak-anak saya.

“Tetapi saya tidak begitu kejam. Saya tahu dia adalah ibu tunggal dan tidak mampu menangani perkara itu atau membayar pampasan. Jadi saya memutuskan sebaliknya.”

katanya, kejadian itu perlu mengingatkan pemilik anjing untuk bertanggungjawab dan berhati-hati demi kepentingan masyarakat di kawasan mereka.

“Menjadi kewajipan semua untuk memastikan anjing mereka mempunyai permit dan dikawal bagi mengelakkan kejadian seperti ini.”

Pada 10 Sept lalu, Saroja Devi didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah terhadap kecuaian di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan selepas anjingnya menyerang dan mencederakan jirannya.

Dia merayu dikenakan denda lebih rendah dan majistret menetapkan ikat jamin RM500 sementara menunggu prosiding rayuan pada 25 Okt ini.

Wanita itu segera digari dan dibawa ke balai polis dari mahkamah di Taiping, walaupun sudah membayar wang jaminan RM500 tepat pada masanya. Dia terpaksa bermalam dalam lokap.

Majistret Adibah Kadir terpaksa campur tangan keesokannya, iaitu pada Sabtu untuk mengelakkan dia menghabiskan dua malam lagi dalam lokap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.