Peguam didakwa subahat edar, miliki dadah di lokap mahkamah

Peguam didakwa subahat edar, miliki dadah di lokap mahkamah

Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa didakwa buat kesalahan di lokap Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bulan lepas.

jail prison
Kesalahan didakwa dilakukan di lokap Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, antara 9 pagi hingga 12 tengah hari, 23 Dis lepas (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang peguam didakwa di Mahkamah Majistret di Marang atas tiga tuduhan bersubahat mengedar dan memiliki dadah bulan lepas.

Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa, 33, didakwa bersubahat mengedar dadah methamphetamine seberat 123g bersama Muhammad Syafiq Syahmi Mohamad Zafri, 26.

Kesalahan dilakukan di lokap Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, antara 9 pagi hingga 12 tengah hari, 23 Dis lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 39B(1)(a) dan Seksyen 39B(2) akta sama, lapor Bernama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, boleh disebat tidak kurang 15 sebatan.

Che Muhammad Amir Syafiq turut berdepan dua lagi tuduhan berasingan, iaitu bersubahat memiliki 21g dadah jenis kanabis serta 13g nimetazepam bersama Muhammad Syafiq Syahmi di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta antara tiga dan sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan memiliki kanabis, tertuduh didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan.

Sementara itu, bagi tuduhan memilik nimetazepam, tertuduh berdepan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun di bawah akta sama.

Tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Syaza Firdaus Rashid.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana tuduhan di bawah Seksyen 39B merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 29 April untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.