Azam cadang bicara rasuah disiar secara langsung

Azam cadang bicara rasuah disiar secara langsung

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata, langkah ini akan serlah komitmen kerajaan terhadap ketelusan.

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, ada pihak tertentu cuba manipulasi prosiding sebenar mahkamah melalui hantaran media sosial.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mencadangkan agar prosiding perbicaraan kes rasuah disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap proses kehakiman.

Beliau berkata, ada pihak tertentu yang cuba memanipulasi prosiding sebenar mahkamah melalui hantaran media sosial, yang menurutnya menimbulkan ‘banyak isu’.

“(Dicadangkan) benar siaran langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang ramai dapat mengikuti prosiding terbabit,” katanya, lapor Berita Harian.

“Bagi saya, jika pembaharuan ini dipersetujui, ia satu langkah yang sangat baik, menunjukkan ketelusan daripada pihak kerajaan.”

Azam turut mencadangkan agar lokap milik agensi penguatkuasaan di negara ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) canggih bagi meningkatkan ketelusan dan integriti.

Katanya, beliau sedar sistem CCTV yang digunakan sesetengah agensi sudah lapuk, yang menurutnya boleh mencetuskan ‘tohmahan’, terutamanya dalam kes membabitkan rasuah atau kematian dalam tahanan.

“Saya sarankan CCTV bukan sekadar CCTV biasa, pertama ada sistem AI (kecerdasan buatan), yang kedua perlu ada pusat kawalan, janganlah CCTV tu ‘stand alone’ (tidak disambungkan ke pusat kawalan),” katanya.

Azam berkata, satu kertas kerja yang lebih komprehensif mengenai perkara itu akan dibentangkan kepada kerajaan untuk pertimbangan lanjut.

Beliau turut mendedahkan, tiga penerbit filem menyatakan minat untuk menghasilkan filem bertemakan antirasuah, dan beliau telah memberi mereka beberapa contoh kes yang boleh diadaptasi ke layar perak.

Menurut Azam, jalan cerita dan plot yang diketengahkan mestilah menarik dan mampu menyampaikan mesej antirasuah dengan tepat.

“Kami sudah bertemu mereka dan memberikan beberapa contoh kes kami untuk diadaptasi, namun saya beritahu mereka, pelakon yang membintangi filem itu mesti bertaraf terbaik,” katanya.

“Saya beritahu mereka (penerbit) bahawa mereka mesti serius (menghasilkan filem ini). Filem itu mestilah membawa mesej antirasuah yang betul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.