KKM rekod 144 kes kematian wanita hamil dijangkiti Covid-19

KKM rekod 144 kes kematian wanita hamil dijangkiti Covid-19

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata berdasarkan analisa data, semua wanita hamil yang meninggal dunia belum melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Menerusi data janji temu di aplikasi MySejahtera, setakat ini seramai 152,026 wanita hamil telah menerima vaksin Covid-19 di seluruh negara. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sebanyak 144 kes kematian direkodkan membabitkan wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 setakat 14 Sept, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan analisis data, semua wanita hamil yang meninggal dunia belum melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Sementara itu beliau berkata, seramai 5,636 wanita hamil disahkan positif Covid-19 dalam tempoh empat bulan antara Mac hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimua tnaik di laman sesawang Parlimen Malaysia berhubung pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang mahu tahu secara terperinci berkenaan kajian terhadap keberkesanan dan kesan sampingan vaksin kepada golongan ibu mengandung serta jumlah kematian wanita hamil akibat tidak mengambil vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kajian yang diterbitkan oleh “The New England Journal of Medicine” pada Jun 2021 dan laporan “V-safe Covid-19 Vaccine Pregnancy Registry” yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat mendapati vaksin adalah berkesan dan selamat dalam kalangan wanita hamil tanpa peningkatan risiko kepada bayi.

“Kesan sampingannya serupa dengan wanita yang tidak hamil,” kata Khairy.

Setakat ini, seramai 152,026 wanita hamil telah menerima vaksin Covid-19 menerusi janji temu yang diberikan melalui MySejahtera dan kaedah ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.