
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menafikan sektor kesihatan negara ini mengalami kekurangan doktor pakar hingga mengakibatkan ada pesakit terpaksa menunggu untuk satu tempoh masa tertentu bagi mendapatkan rawatan susulan.
Beliau berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan komitmen supaya KKM berupaya memberikan tajaan kepada doktor kontrak melanjutkan pengajian bagi memenuhi keperluan pakar sedia ada.
Terdahulu Khairy memaklumkan, seramai 13,000 doktor pakar sedang berkhidmat di sektor perubatan awam dan swasta.
“Sekarang ini kita tidak kekurangan doktor siswazah tetapi kita perlukan doktor pakar. Kekurangan pakar ini menyebabkan pesakit perlu menunggu.
“Oleh sebab itu, MOF harus memberi komitmen supaya kita dapat melatih doktor-doktor kontrak menjadi pakar demi memenuhi keperluan 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Rusnah Aluai (PKR-Tangga Batu) tentang masa depan doktor kontrak yang sehingga kini masih belum diserap dalam perjawatan tetap.
Menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang mahu KKM memaklumkan faktor menyebabkan doktor terutamanya pakar meletak jawatan, Khairy menjelaskan ia disebabkan mereka menerima tawaran lebih baik di sektor swasta.
“Antara faktor mereka tinggalkan perkhidmatan awam ialah peluang di sektor swasta terutamanya bagi pakar, walaupun dari masa ke masa ada pemberian elaun kepakaran kepada pakar kita dalam perkhidmatan awam namun ia tidak setanding dengan swasta.
“Kita juga beri kelonggaran kepada pakar kita satu hari seminggu untuk melaksanakan tugas di sektor swasta bagi mendapatkan pendapatan tambahan, kemudahan ini perlu kita beri kepada mereka supaya kekal dalam sistem kesihatan awam,” katanya.