Kerajaan boleh minta lebih banyak katil, KJ ingatkan hospital swasta

Kerajaan boleh minta lebih banyak katil, KJ ingatkan hospital swasta

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu berkata, beliau akan berbincang dengan hospital swasta terlebih dahulu.

Khairy Jamaluddin berkata, penggunaan katil Covid-19 di hospital swasta kini mencapai 87% dan kapasiti ICU pula pada tahap 117%. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dalam meminta hospital swasta di Pulau Pinang menyediakan lebih banyak katil untuk pesakit Covid-19, Menteri Kesihatan, Khary Jamaluddin mengingatkan hospital swasta yang kerajaan mempunyai kuasa untuk mengemukakan permintaan terhadap kemudahan mereka.

Dalam sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew hari ini, beliau berkata, situasi di Pulau Pinang ketika ini semakin membimbangkan dengan lonjakan kes Covid-19.

Walaupun perhatian akan diberikan terhadap jumlah kemasukan ke hospital, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian, katanya, terdapat keperluan untuk hospital swasta meningkatkan kapasiti katil mereka untuk pesakit Covid-19 dan pesakit biasa.

Khairy berkata, penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di hospital swasta kini mencapai 87%, manakala ICU pula pada tahap 117%.

“Hospital swasta bersetuju menambah 300 katil, tetapi kami akan meminta tambahan 1,000 katil disediakan di hospital swasta, khususnya untuk pesakit Covid-19.

“Saya ingin memaklumkan hospital swasta bahawa Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa untuk mengemukakan permintaan terhadap kemudahan mereka, jika mereka masih tidak bersedia dengan kapasiti mereka.

“Tetapi, saya tidak mahu sampai kita terpaksa mengemukakan permintaan kepada mereka. Kami masih mahu berbincang dengan mereka untuk menyediakan kapasiti tambahan ini,” katanya sambil menambah ada sebahagian penduduk Pulau Pinang yang mampu membayar rawatan di hospital swasta.

Sambil menyifatkan dua hingga tiga minggu akan datang sebagai tempoh kritikal untuk Pulau Pinang, Khairy berkata, kapasiti pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) akan dipertingkatkan bagi menerima lebih ramai pesakit.

Beliau menasihatkan pesakit dalam Kategori 1 dan 2 dikuarantin di pusat berkenaan bagi memastikan mereka dipantau lebih baik, khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi dan kawasan kediaman tidak kondusif untuk menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, doktor swasta akan diminta membantu di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), dengan sedikit bayaran akan diberikan kepada mereka.

Dengan adanya penyertaan doktor swasta, beliau berkata, setiap seorang doktor itu dapat memantau 10 hingga 15 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah untuk mengelakkan jumlah tinggi kes kematian di luar hospital (BID).

KKM juga akan menghantar 200 petugas barisan hadapan tambahan untuk membantu Pulau Pinang menangani lonjakan kes dan mempertimbangkan penubuhan hospital medan berhampiran Hospital Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.