Alih subsidi gula untuk naikkan elaun pegawai perubatan, kerajaan diberitahu

Alih subsidi gula untuk naikkan elaun pegawai perubatan, kerajaan diberitahu

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Khalib berkata mengalihkan subsidi bagi membiayai elaun 'on-call' adalah situasi menang-menang.

doktor pakar bedah
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata kadar semasa elaun ‘on-call’ menyumbang kepada pemindahan pekerja penjagaan kesihatan mahir daripada sistem kesihatan awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir kesihatan menggesa kerajaan merasionalisasikan subsidi kepada pengeluar gula dalam belanjawan akan datang dan menggunakan peruntukan itu bagi meningkatkan elaun pegawai perubatan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib, berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan kira-kira RM500 juta kepada pengeluar gula sebagai subsidi atau insentif, yang bersamaan dengan RM1 sekilogram bagi gula mentah dan bertapis.

Beliau berkata, memansuhkan atau merasionalisasikan subsidi ini akan membebaskan sekurang-kurangnya RM500 juta tanpa membebankan keseluruhan belanjawan.

“Terdapat lebih daripada cukup untuk menyediakan RM80 juta yang diperlukan bagi menaikkan elaun,” katanya, merujuk kepada jumlah yang perlu ditanggung kerajaan sekiranya ia menaikkan elaun on-call.

“Setiap ringgit yang dialihkan daripada memberi subsidi gula kepada menyokong petugas barisan hadapan, secara langsung memperkukuh penyampaian kesihatan awam dan pengekalan tenaga kerja mahir,” tambahnya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata bahawa menaikkan elaun ‘on-call’ pegawai perubatan secara menyeluruh kepada RM65 daripada kadar semasa RM55 akan menelan kos kira-kira RM75 juta hingga RM80 juta.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pada Jumaat bahawa elaun ‘on-call’ yang disemak semula untuk doktor dijangka dilaksanakan pada 2026.

Azrul berkata pihaknya menyokong komitmen semula Dzulkefly untuk kenaikan penuh elaun ‘on-call’.

Beliau berkata kadar semasa, yang dianggap tidak adil, menyumbang kepada penghijrahan tenaga kerja kesihatan mahir daripada sektor kesihatan awam.

Dengan Malaysia berdepan lonjakan penyakit kencing manis, sakit jantung dan obesiti kanak-kanak, adalah tidak masuk akal untuk mengekalkan subsidi gula sementara membayar doktor dengan kadar rendah, tambahnya.

Beliau berkata mengalihkan subsidi bagi membiayai elaun ‘on-call’ adalah situasi menang-menang.

“Kita akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat dan tenaga kerja kesihatan yang lebih kuat serta bermotivasi,” katanya, sambil menambah bahawa subsidi gula melemahkan usaha kementerian mengawal pengambilannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.