P Pinang naik cukai tanah kali pertama dalam tempoh 30 tahun

P Pinang naik cukai tanah kali pertama dalam tempoh 30 tahun

Pemilik kediaman akan membayar tambahan 16 sen untuk 1m persegi, naik daripada RM0.54 sen untuk 1m persegi sebelum ini.

penang-georgetown
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tiada lagi kenaikan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun akan datang. (Gambar Pexels)
GEORGE TOWN:
Mulai 1 Jan tahun depan, penduduk Pulau Pinang akan membayar tambahan 16 sen bagi cukai tanah setiap 1m persegi selepas kadar itu disemak semula bagi meningkatkan hasil negeri.

Kediaman persendirian kini membayar RM0.54 untuk 1m persegi.

Bagaimanapun, beberapa kategori lot tanah di kawasan bandar di seluruh negeri, termasuk Bayan Baru, Jelutong, Tanjong Bungah dan Bukit Mertajam dikenakan bayaran minimum RM70.

Mengumumkan kadar baharu bagi beberapa kategori bangunan dan tanah hari ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kira-kira 370,000 pemilik geran akan terkesan.

Beliau turut memberi jaminan tiada kenaikan lagi untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, kali terakhir kadar ini disemak ialah 30 tahun lalu.

“Ini menyebabkan hasil kerajaan negeri tidak bertambah sejak sekian lama.

“Tunggakan cukai dan kebocoran kutipan cukai tanah juga meningkat kerana pelarasan data cukai tidak dapat dilakukan secara menyeluruh,” katanya.

Chow, yang juga pengerusi jawatankuasa kewangan, ekonomi dan pembangunan tanah negeri, berkata kadar cukai tanah yang disemak ini akan membantu kerajaan negeri menjana hasil kira-kira RM200 juta bagi 2026, yang boleh disalurkan untuk program kebajikan dan skim bantuan kos sara hidup.

Sementara itu, tanah luar bandar akan menyaksikan peningkatan kadar daripada RM0.22 kepada RM0.50 untuk 1m persegi dengan bayaran minimum RM50 setiap lot.

Bagi kategori perindustrian pula, kadar cukai tanah dinaikkan daripada RM1.29 kepada RM3.25 untuk 1m persegi, tanpa mengira sama ada ia terletak di kawasan bandar atau luar bandar.

Bagi perniagaan pula, kadar dinaikkan kepada RM3.25 untuk 1m persegi di kawasan bandar dan RM2.80 di kawasan luar bandar dengan bayaran minimum antara RM280 hingga RM325 bagi tanah kurang daripada 100m persegi atau 1,076 kaki persegi.

Bagi mengurangkan beban pembayar cukai, rebat cukai sebanyak 32.5% akan dilaksanakan pada tahun depan, diikuti dengan rebat 20% pada 2027 dan 2028.

Kerajaan negeri juga bersetuju memberikan pengecualian penalti 100% ke atas tunggakan cukai tanah dan cukai tanah dari 1 Jan hingga 31 Dis tahun depan, serta diskaun 50% bagi kadar premium untuk penukaran kategori tanah daripada pertanian kepada kediaman sebagai usaha menggalakkan penukaran hak milik tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.