Adun Bertam saran rebat fokus B40, luar bandar ringan beban cukai tanah

Adun Bertam saran rebat fokus B40, luar bandar ringan beban cukai tanah

Reezal Merican Naina Merican berkata kadar baharu itu boleh membebankan pemilik tanah berpendapatan rendah dan warga emas yang mewarisi tanah pusaka.

Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican menggesa lebih banyak libat urus antara pihak berkuasa dan penduduk setempat sebelum kadar baharu itu dilaksanakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adun Bertam, Reezal Merican Naina Merican mencadangkan skim rebat bersasar untuk mengurangkan kesan kenaikan cukai tanah terhadap golongan B40 dan masyarakat luar bandar di Pulau Pinang.

Beliau bimbang dengan kesan langsung kadar baharu itu, khasnya buat penduduk di kampung tradisi dan luar bandar yang kini diklasifikasikan kawasan bandar.

Oleh itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri menyediakan rebat berperingkat dan bersasar kepada pemilik tanah di kampung serta B40.

“Ini merupakan beban yang nyata, terutama kepada pemilik tanah berpendapatan rendah dan warga emas yang mewarisi tanah keluarga sejak turun-temurun,” katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri persekutuan itu menyarankan kerajaan negeri menilai pewartaan sempadan kawasan bandar baharu bagi memastikan kawasan luar bandar dan kampung tradisi tidak dimasukkan secara automatik tanpa mengambil kira infrastruktur sedia ada dan taraf sosioekonomi penduduk.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menyelaras kadar cukai mengikut status pembangunan sebenar, bukannya berdasarkan pewartaan semata-mata.

Beliau turut menggesa lebih banyak libat urus antara pihak berkuasa dan penduduk sebelum melaksanakan kadar baharu itu.

“Untuk merungkai kekeliruan rakyat terhadap kadar cukai baharu, simulasi kadar cukai yang akan dikenakan perlu diadakan supaya rakyat boleh semak terlebih dahulu.”

Mengikut kadar baharu mulai 1 Jan ini, cukai tanah bagi rumah individu di kawasan bandar akan naik 16 sen kepada 70 sen semeter persegi berbanding 54 sen ketika ini, manakala kadar luar bandar meningkat 22 sen kepada 50 sen semeter persegi.

Bagi premis perniagaan, kadar baharu ialah RM3.25 semeter persegi di kawasan bandar dan RM2.80 di luar bandar, manakala kadar industri naik daripada RM1.29 kepada RM3.25 semeter persegi.

Bayaran minimum RM70 bagi setiap lot akan dikenakan untuk tanah di kawasan bandar dan RM50 untuk lot luar bandar.

Jumaat lalu, Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang menggesa cadangan cukai tanah baharu itu ditangguhkan sehingga 2029 sementara menunggu libat urus dan kajian semula semua struktur cukai tanah sedia ada.

Presidennya, Lee Kim Noor dilaporkan berkata, kenaikan itu tidak wajar dan kerajaan negeri bergantung kepada hujah lemah kadar berkenaan tidak dinaikkan sejak 30 tahun lalu.

Katanya, jumlah hartanah bertanah serta bertingkat berkembang pesat sejak 30 tahun lalu dan hasil semasa “sepatutnya mencukupi untuk membiayai operasi negeri tanpa membebankan rakyat lagi”.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Yusoff dilaporkan berkata, kadar menyeluruh itu tidak wajar dikenakan ke atas rumah kampung, kos rendah, bangunan bercampur serta premis perniagaan.

Menurutnya, struktur zon sedia ada yang mengklasifikasikan kawasan sebagai bandar atau luar bandar tidak menggambarkan realiti kehidupan masyarakat setempat.

Katanya, rakyat sudah menanggung beban akibat peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dan walaupun barangan asas dikecualikan, langkah itu tetap menjejaskan rantaian bekalan, sekali gus menyebabkan kenaikan harga barang harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.