Guan Eng dikuarantin, bicara tangguh 22 Sept

Guan Eng dikuarantin, bicara tangguh 22 Sept

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Lim Guan Eng berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu ditangguhkan ke 22 Sept ini selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang itu diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 Sept depan.

“Saya memohon penangguhan bagi perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada hari ini sehingga 10 Sept depan. Kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi,” kata Gobind.

Permohonan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Awi membenarkan permohonan pihak pembelaan dan mengarahkan perbicaraan bersambung semula pada 22 hingga 24 Sept depan seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Hari ini sepatutnya memasuki hari kelapan perbicaraan dengan empat saksi pendakwaan memberi keterangan setakat ini dalam perbicaraan yang bermula pada 13 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60 didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim dituduh meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.