
Paolo Casadio dari Universiti HELP berkata, dasar masa lalu yang bertujuan membiayai dan menyokong syarikat pemula terbukti mempunyai impak yang lebih besar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pekerjaan berbanding perbelanjaan biasa.
“Masih banyak potensi di sini, cuma belum dimanfaatkan,” katanya kepada FMT.
“Mengoptimumkan dana yang diperoleh syarikat ini dapat menjadi penggalak besar kepada pemulihan ekonomi. Bukan sekadar menyuntik lebih banyak wang, tetapi juga membantu mereka mengatur dan menyelaraskan operasi mereka.”
Katanya, ketidakberkesanan dasar masa lalu dapat dilihat pada hakikat banyak syarikat pemula yang berjaya berpindah ke Singapura untuk mendapatkan pelaburan atau menjadi syarikat awam. Ia adalah “satu kehilangan besar kekayaan yang sepatutnya dikekalkan di Malaysia”.
Di samping itu, banyak PKS menjadi tonggak rantaian bekalan dan langkah menyokongnya akan membolehkan penyumbang ekonomi yang lebih besar berkembang dan mendorong pertumbuhan.
Casadio berkata, pakej bantuan kerajaan sebelumnya terlalu selektif dengan memfokuskan kepada jumlah perusahaan yang terhad dan kumpulan individu yang terlalu kecil.
Sememangnya wajar kerajaan menumpukan perhatian kepada penggiat terbesar, tetapi dalam konteks rantaian bekalan, elemen paling lemah dalam rantaian membatasi prestasi keseluruhannya, tambahnya.
Beliau mencadangkan peruntukan RM10 bilion untuk membolehkan syarikat yang lebih kecil memulakan kembali operasi sepenuhnya secepat mungkin.
“Syarikat-syarikat ini boleh mengembalikan gaji pekerja mereka dan mula mengambil pekerja baharu,” katanya.
“Idea lain adalah dengan mewujudkan kemudahan pinjaman jangka pendek untuk perniagaan membayar, katakanlah, separuh daripada gaji pekerja mereka terlebih dahulu pada awal bulan,” katanya.
Ini dapat dibayar kembali melalui pendapatan yang diperoleh pada bulan tersebut, tambahnya.