
Heidy Quah Gaik Li, yang mengemukakan tuntutan itu minggu lalu, memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya perkataan “menyinggung perasaan” dan “jelik” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia tidak sah kerana tidak berperlembagaan.
Pengurusan kes dalam talian akan diadakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Sept ini, lapor Malay Mail.
Di bawah Seksyen 233 (1) (a), seseorang yang membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang “lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya” dengan “niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain”, dikira melakukan satu kesalahan.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau dihukum penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Dokumen mahkamah menunjukkan Quah berpendapat Seksyen 233, yang menjadikan kandungan menyinggung perasaan dalam talian sebagai jenayah, bukan “sekatan” di bawah Perkara 10(2)(a) Perlembagaan, tetapi merupakan “larangan”.
Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin semua warganegara hak kebebasan bersuara.
Bagaimanapun, Perkara 10(2)(a) membenarkan Parlimen melaksanakan “sekatan” atas dasar keselamatan negara, ketenteraman awam atau moral, untuk melindungi hak keistimewaan Parlimen, atau menentang penghinaan mahkamah, fitnah atau hasutan atas kesalahan apa pun.
Quah, yang juga pengasas Refuge for Refugees, didakwa bulan lalu di bawah Seksyen 233 berhubung catatan di Facebooknya tahun lalu atas dakwaan penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.
Perbicaraannya di Mahkamah Sesyen belum bermula.