
Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah atas kegagalan menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan hampir lima dekad, yang dijamin bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Peter John Jaban berkata, walaupun penghakiman itu membabitkan Sabah, ia membawa implikasi mendalam kepada Sarawak.
Sarawak turut menikmati peruntukan Perlembagaan di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh (Bahagian V) Perlembagaan Persekutuan untuk pemberian kewangan khas yang akan disemak melalui rundingan kerajaan persekutuan dan negeri.
“Sabah telah bersuara melalui mahkamah. Kini giliran Sarawak bertindak,” katanya dalam kenyataan.
“Hampir setengah abad, kedua-dua negeri menyumbang kekayaan besar kepada negara, tetapi hanya menerima sebahagian kecil sebagai balasan. Ketidakseimbangan ini perlu dihentikan.
“Walaupun susunan Sarawak berbeza, ia berdasarkan asas Perlembagaan sama.”
Menurutnya, keputusan mahkamah itu mendedahkan bagaimana Putrajaya secara sistematik gagal menunaikan kewajipan Perlembagaannya terhadap Sabah dan seterusnya Sarawak.
Beliau menyifatkan kejayaan itu “kemenangan moral” buat rakyat Sabah, membuktikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dokumen Perlembagaan mengikat yang mesti dihormati sepenuhnya.
Peter menggesa pemimpin Sarawak menunjukkan keberanian sama seperti Persatuan Undang-undang Sabah (SLS), yang cabaran undang-undang berjaya membuktikan rakyat boleh membawa perubahan apabila mereka mempertahankan hak Perlembagaan mereka.
Beliau mengucapkan tahniah kepada SLS atas kemenangan bersejarahnya terhadap Putrajaya dan kejayaan itu milik setiap rakyat Sabah serta perlu menjadi inspirasi buat rakyat Sarawak menuntut “keadilan, kesaksamaan dan penghormatan” dalam persekutuan.
SLS memfailkan semakan kehakiman pada 2022 selepas mendakwa Putrajaya melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana gagal melakukan semakan hasil mandatori setiap lima tahun sejak 1974.
Ia juga berhujah kerajaan secara Perlembagaan bertanggungjawab menyerahkan 40% hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah kepada negeri itu bagi setiap tahun berkenaan.
Formula perkongsian hasil menjadi isu pertikaian selama beberapa dekad. Ahli politik Sabah meminta Putrajaya menghormati hak negeri, seperti yang dipersetujui pada 1963, kepada 40% daripada hasil bersih diperolehi dari Sabah.
Selain memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan hampir lima dekad, Hakim Mahkamah Tinggi, Celestina Stuel Galid, turut mengisytiharkan pemberian khas antara kerajaan persekutuan dan negeri “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional”.