
Dalam hantaran video di Facebook malam tadi, menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu membidas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali, kerana memetik secara selektif beberapa peruntukan dalam perjanjian ditandatangani dengan AS pada Ahad, khususnya Perkara 5.1.
Tengku Zafrul berkata, Putrajaya hanya diwajibkan mengenakan sekatan terhadap negara lain untuk menangani kebimbangan ekonomi atau keselamatan negara yang ‘dikongsi bersama’ kedua-dua negara.
Beliau menekankan kata kunci ‘bersama’.
“Maksudnya, kalau isu tersebut hanya memberi kesan kepada keselamatan negara dan ekonomi AS, tetapi tidak memberi impak kepada keselamatan negara dan ekonomi Malaysia, kita tidak perlu pertimbangkan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dari DAP, mengkritik tindakan ‘memetik secara terpilih’ butir perjanjian itu melibatkan Perkara 5.1 untuk memenuhi agenda politik tertentu.
“Oleh itu, jika dibaca secara teliti dan objektif, keseluruhan Perkara 5.1 ini bukannya ‘mengambil alih autonomi atau kedaulatan Malaysia’, tetapi sebenarnya menggalakkan kerjasama demi kepentingan bersama,” katanya dalam catatan di Facebook.
Pada Isnin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali, mengkritik perjanjian itu sebagai berpotensi merosakkan kedaulatan ekonomi negara, dengan mendakwa ia memaksa Putrajaya mengikut peraturan dan undang-undang Washington berkait perdagangan dan pelaburan.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu, berkata antara klausa perjanjian yang paling merosakkan ialah Perkara 5.1, yang beliau dakwa ‘mewajibkan’ Malaysia mengikut sebarang sekatan perdagangan atau sekatan AS terhadap negara lain.
Di bawah Perjanjian Tarif Timbal Balik Malaysia-AS, Malaysia berikrar menyediakan akses pasaran keutamaan yang signifikan bagi eksport barangan industri AS, termasuk bahan kimia, jentera, dan peralatan elektrik, logam, dan kenderaan penumpang, serta bagi eksport pertanian seperti produk tenusu, ayam itik, dan beras.
Sebaliknya, AS akan mengekalkan tarif timbal balik 19% ke atas barangan Malaysia, dengan produk tertentu menerima kadar tarif 0% di bawah senarai rakan kongsi yang bersekutu.
Malaysia juga akan mengelak daripada mengharamkan atau mengenakan kuota ke atas eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS dan akan bekerjasama dengan firma Amerika ‘bagi mewujudkan kepastian bagi perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran’.