
Ketuanya Akmal Nasir berkata ucapan perdana menteri semalam mengandungi unsur bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memberi impak negatif kepada kedaulatan undang-undang dan menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan.
“Dalam ucapan tersebut, Muhyiddin dengan jelasnya mengakui bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun, daripada meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Muhyiddin dalam ucapan tersebut membuat pelbagai tawaran yang berbentuk sogokan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat bagi mendapat sokongan mereka untuk membolehkan beliau kekal menjadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan sekiranya atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Dalam sidang media semalam, Muhyiddin menawarkan tujuh tawaran kepada pembangkang termasuk mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi sekiranya mereka bersetuju menyokongnya dalam usul percaya di Parlimen bulan depan.
Akmal berkata, pihaknya mengesyaki perdana menteri telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Suruhanjaya SPRM.
Seksyen itu memperincikan penyogokan pegawai badan awam dengan menawarkan suapan kepada seseorang pegawai badan awam sebagai dorongan agar pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu.
“Memandangkan unsur sogokan tersebut dibuat secara langsung di televisyen, maka AMK kemukakan laporan kepada SPRM secara terbuka.
“Oleh itu, AMK membuat laporan ini supaya siasatan dapat dijalankan ke atas Muhyiddin Yassin,” katanya.