
Timbalan Ketua Pemudanya, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.
“Sasaran kerusi daripada kami adalah sekurang-kurangnya satu kerusi tetapi ini tertakluk kepada pimpinan tertinggi parti.
“Apa pun kerusi bukan keutamaan tetapi memastikan PKR menang seberapa banyak kerusi yang ditandingi,” katanya kepada FMT.
Pemuda PKR Sabah sebelum ini menyokong supaya Ketuanya Zaidi Jatil diberikan peluang bertanding kerusi DUN Bandau pada pilihan raya itu nanti.
Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Wetrom Bahanda mewakili kerusi Bandau sebelum DUN Sabah dibubarkan.
Namun beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu telah mengumumkan berpindah ke DUN Matunggong pada PRN Sabah.
Sehingga kini, proses rundingan kerusi antara parti-parti bertanding dalam PRN Sabah masih berjalan dan FMT difahamkan calon daripada sayap pemuda dan wanita PKR masih belum diberi tempat.
Dalam perkembangan sama, Izuan berkata pihaknya juga bersedia menggerakkan jentera bersama Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) jika diperlukan sepanjang kempen.
“Ya (jika perlu) akan turut membantu parti perpaduan yang masuk bertanding sebagaimana BN juga akan turun membantu kerusi PKR bertanding,” katanya yang juga pengarah Pilihan Raya Pemuda PKR.
Sebelum ini, Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud yang dipetik berkata, mereka hampir pasti bertanding antara 10 hingga 12 kerusi selepas perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.
Menurutnya, setakat ini di Gum-Gum, Karamunting, Segama, Merotai, Inanam, Petagas, Api-Api, Sindumin dan Melalap. Beberapa kerusi dalam perbincangan.