Pekerja restoran tak perlu vaksin lengkap, kata polis

Pekerja restoran tak perlu vaksin lengkap, kata polis

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong Soffian mengakui terdapat kekeliruan berhubung SOP yang telah dijelaskan MKN.

Selasa lalu, pihak berkuasa memaklumkan kepada Restoran Hameediyah bahawa semua pekerjanya perlu diberi vaksin sepenuhnya sebelum membenarkan pelanggan makan di premis.
GEORGE TOWN:
Tidak ada syarat yang menetapkan semua pekerja kedai makan yang membenarkan pelanggan makan di premis perlu diberi vaksin sepenuhnya, kata polis Pulau Pinang.

Perkara itu dijelaskan selepas Restoran Hameediyah dimaklumkan oleh polis dan pegawai kesihatan dua hari lalu bahawa semua 15 pekerja di cawangan restoran nasi kandar itu mesti diberi vaksin sepenuhnya sebelum membenarkan pelanggan makan di premis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong Soffian yang dihubungi FMT mengakui terdapat kekeliruan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini yang menyatakan semua pekerja perlu diberi vaksin sepenuhnya.

Namun beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membuat penjelasan semalam.

“Tidak ada syarat untuk pekerja diberi vaksin sepenuhnya tetapi majikan wajib menyenaraikan nama mereka di pintu masuk dan mengisytiharkan status vaksinasi mereka,” katanya.

Pembantu kepada Menteri Kanan Keselamatan Hishammuddin Hussein turut mengesahkan perkara itu kepada FMT dengan berkata, hanya pelanggan sahaja yang perlu mendapat vaksin sepenuhnya, bukan pekerja.

Dia berkata, restoran perlu menunjukkan bilangan pekerja yang telah diberi vaksin bagi membolehkan pelanggan membuat pilihan sama ada mahu makan di premis atau tidak.

“Langkah penguatkuasaan untuk memeriksa sama ada restoran ini menunjukkan bilangan pekerja yang diberi vaksin sepenuhnya adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Bermula 10 Ogos, kerajaan memberi kelonggaran kepada pelanggan untuk makan di premis namun Restoran Hameediyah pula dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa pada Selasa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.